Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas jurutera KTMB didakwa terima rasuah RM1,450
Diterbitkan:  Aug 5, 2020 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Seorang bekas jurutera awam jabatan pengurusan projek, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,450 berhubung tiga projek stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter, lima tahun lepas

Mohd Amin Muhammad N Hushaimi, 36, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menerima suapan daripada Mohd Nizam Hasan masing-masing berjumlah RM950 dan RM500 melalui akaun Maybank Islamic milik tertuduh.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengesyorkan Surat Arahan Berhenti Kerja Sementara Ekoran Faktor Keselamatan Di Tapak Projek dikeluarkan bagi projek cadangan tambahan dan pengubahsuaian di LRT Stesen Abdullah Hukum dan cadangan pembangunan sebuah stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab kereta api.

Selain itu, ia juga membabitkan projek cadangan pembangunan mendirikan sebuah stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 berserta kemudahan sokongan antaranya pejabat pengurusan, kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan dan jejantas pejalan kaki berbumbung.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad di Lot No.7,8 & 9 Departure Hall, Level 1 KL City Air Terminal (KLCAT), KL Sentral di Kuala Lumpur pada 15 Julai dan 14 Sept 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan telah diberhentikan kerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan, dan 23 Sept ditetapkan untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS