Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
25 penguat kuasa bersubahat seludup pendatang tanpa izin ditahan

PARLIMEN | Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana rakyat Malaysia - termasuk penguat kuasa - yang menjadi petualang dan pemberi maklumat sehingga membenarkan negara dicerobohi pendatang tanpa izin, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Ismail Mohamed Said berkata sejak Op Benteng dilaksanakan 1 Mei lalu, seramai 25 penguat kuasa ditangkap kerana bersubahat membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini.

“Ia melibatkan 18 pegawai dan anggota polis, lima anggota Angkatan Tentera Malaysia dan dua pegawai Jabatan Imigresen.

“Pihak kementerian dan kerajaan ambil berat terhadap tindakan-tindakan yang dilakukan oleh penguat kuasa yang terlibat (yang ditangkap) dalam Op Benteng ini.

“Mereka telah menyalahi atau melanggar undang-undang negara, bertindak menjadi pemberi maklumat atau bersubahat membawa (masuk) pendatang tanpa izin ke dalam negara kita,” katanya.

Ismai berkata demikian sebagai menjawab soalan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berhubung keberkesanan Op Benteng untuk mengatasi masalah sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin.

Ismail berkata sehingga kini seramai 3,597 individu terdiri 2,625 pendatang tanpa izin, 602 tekong dan 370 pemberi maklumat atau yang bersubahat membawa masuk pendatang terbabit ditangkap dalam Op Benteng.

Menjawab soalan tambahan Mahdzir berhubung tindakan yang diambil kerajaan memandangkan kos pengurusan pendatang tanpa izin di depoh tahanan seluruh negara adalah tinggi, dia berkata kerajaan bekerjasama dengan negara asal pendatang terbabit untuk menghantar mereka pulang secepat mungkin.

“Memang kos perbelanjaan pendatang tanpa izin terlalu besar dan memberi bebanan tinggi kepada kewangan negara kerana perbelanjaan seorang termasuk makan, minum, tempat adalah RM90 sehari dan juga (kos) proses menghantar pulang ke negara asal.

“Sebab itu kita sentiasa berbincang menerusi Jabatan Imigresen Malaysia supaya pendatang tanpa izin yang ditempatkan di depoh tahanan dihantar ke negara asal, dengan terkini 22,927 orang telah dihantar pulang antaranya Indonesia (5,613), Myanmar (3,990) dan Bangladesh (2,664),” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS