Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Jho Low kata PM akan tangani pertikaian 'surat saranan'
Diterbitkan:  Aug 5, 2020 2:55 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Jho Low mendakwa dia boleh meminta perdana menteri ketika itu, Najib Razak untuk memastikan "surat saranan" (letter of comfort) AS$6 bilion dikeluarkan oleh kerajaan untuk sebuah projek usahasama 1MDB.

Ketika memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, Shahrol mengatakan Jho Low telah meminta agar 1MDB, melalui Goldman Sachs, menyediakan draf surat itu untuk Kementerian Kewangan.

Draf surat tersebut (letter of comfort) kononnya adalah untuk meyakinkan peminjam bagi projek tersebut tetapi sebenarnya adalah sebuah jaminan (letter of guarantee) yang harus ditanggung kerajaan.

Surat tersebut adalah untuk memberi jaminan AS$6 bilion dalam usahasama antara 1MDB dan Aabar Investment PJS Ltd (BVI), di mana 1MDB akan memberikan komitmen sebanyak AS$3 bilion sementara Aabar juga akan memberikan komitmen AS$3 bilion.

Namun, perjanjian itu sebenarnya dengan Aabar yang berpangkalan di Kepulauan Virgin Britain yang menyamar sebagai anak syarikat Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC). Aabar BVI akhirnya tidak menunaikan komitmen AS$3 bilion itu.

Surat itu bertujuan untuk meyakinkan pemodal agar entiti usaha sama berkenaan dapat mengumpulkan dana.

Kesepakatan itu digunakan sebagai premis untuk mengumpulkan bon AS$3 bilion untuk 1MDB, dengan yang ketiga disusun oleh Goldman Sachs, dan sejumlah besar kemudian disalahgunakan.

"Ini adalah perkara yang dibincangkan oleh Jho Low. Ia harus dilakukan dengan segera. Tulis draf surat saranan itu dan dia akan meminta Kementerian Kewangan dan perdana menteri keluarkan," kata Shahrol ketika dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Muhamad.

Shahrol mengatakan Jho Low mengingatkan ia perlu disegerakan kerana perwakilan dari Abu Dhabi akan mengunjungi Malaysia dalam masa terdekat.

Wan Aizuddin: Ia selaras dengan surat anda kepada perdana menteri bahawa perkara ini perlu dilakukan sebelum lawatan rasmi?

Shahrol: Ya.

Wan Aizuddin: Adakah anda mengatakan seseorang dari Goldman Sachs atau bahkan Jho Low telah berurusan dengan kakitangan Kementerian Kewangan, termasuk (pegawai kementerian) Siti Zawiyah yang menyiapkan memo dalaman?

Shahrol: Saya tidak mempunyai pengetahuan langsung. Draf surat ini nampak seperti dikirim dari Goldman Sachs.

Wan Aizuddin: Surat saranan ini tidak dibawa oleh Kementerian Kewangan tetapi oleh Goldman Sachs.

Shahrol: Tidak setuju. Oleh kerana Goldman Sachs tidak mempunyai pengaruh terhadap memo dalaman, arahan kepada setiausaha perbendaharaan, kepada jabatan undang-undang - Ini berlaku dalam dua hari. Saya tidak fikir Goldman Sachs mempunyai kawalan sedemikian terhadap Kementerian Kewangan.

Wan Aizuddin kemudian menyatakan bahawa surat itu sebenarnya adalah jaminan tapi di sebagai sekadar saranan dan menyebabkan kekhuatiran di kalangan kakitangan Kementerian Kewangan.

Shahrol mengakui ada pertikaian berhubung perkara itu, namun diberitahu oleh Jho Low bahawa ia dapat "ditangani".

Shahrol, dalam suratnya kepada Kementerian Kewangan, memasukkan "surat saranan" yang diusulkan itu sebagai lampiran.

Najib ketika itu merupakan perdana menteri, menteri kewangan dan pemegang saham 1MDB. Beliau juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Wan Aizuddin: Berdasarkan surat itu, saya menyatakan bahawa niat sebenar surat lampiran ini dikirimkan kepada Kementerian Kewangan adalah untuk memanipulasi perwakilan itu untuk melihat ia sebagai surat saranan tetapi berdasarkan surat yang disiapkan oleh Goldman Sachs dan 1MDB, itu adalah surat jaminan oleh kerajaan.

Shahrol: Tiada komen.

Wan Aizuddin: Anda adalah ketua pengurusan 1MDB, anda akan diberi penerangan mengenai dokumen tersebut.

Shahrol: Saya hanya mendapat agenda perbincangan dari Jho Low. Jho Low memberitahu saya bahawa surat yang dilampirkan berasal dari Goldman Sachs dan mereka akan berunding dengan Kementerian Kewangan. Ketika ada pertikaian bahawa surat itu kelihatan seperti jaminan, dia (Jho Low) mengatakan bahawa dia dan Najib akan menguruskannya.

Bagaimanapun, Shahrol mengakui bahawa dia tidak mengambil inisiatif untuk mengesahkan perkara itu dengan Najib.

"Jho Low meyakinkan saya bahawa semuanya terkawal dan bos akan pastikan jadi saya serahkan kepadanya ...," katanya.

Wan Aizuddin kemudian menyatakan bahawa Shahrol adalah "cermin" kepada Jho Low, yang kemudian disambut oleh ketua pendakwa Gopal Sri Ram secara berjenaka agar tidak menggunakan istilah sama yang mereka guna.

Pihak pendakwa, dalam pernyataan pembukaan dalam kes itu, telah menuduh Jho Low sebagai "cermin" kepaa Najib.

Wan Aizuddin ketawa dan mengatakan bahawa dia melakukannya dengan izin.

Shahrol tidak bersetuju bahawa dia adalah "cermin" kepada Jho Low.

Sementara itu semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, Wan Aizuddin menyoal Shahrol apakah Jho Low didakwa menggunakan singkatan 'Admic' untuk syarikat usaha sama 1MDB-Aabar, untuk mengelirukan dengan syarikat lain dengan akronim yang sama.

Peguam bertanya kepada saksi berkenaan dengan kewujudan sebuah syarikat yang tidak berkaitan, Abu Dhabi Media Investment Corporation (Admic), yang sudah ada pada saat syarikat usahasama 1MDB-Aabar ditubuhkan di negara Timur Tengah itu.

Wan Aizuddin merujuk dalam konteks di mana pada mulanya pada tahun 2013, nama syarikat usaha sama 1MDB-Aabar adalah Malaysian Abu Dhabi Investment Company Limited, tetapi kemudian pada tahun yang sama diubah menjadi Abu Dhabi Malaysian Investment Company Limited (Admic).

Ketika Wan Aizuddin memberitahu Shahrol bahawa Abu Dhabi Investment Corporation telah wujud sejak 2012, Shahrol menjawab bahawa dia hanya mendapat tahu syarikat itu daripadanya hari ini.

Wan Aizuddin: Saya mencadangkan bahawa pertukaran nama menjadi Admic (untuk syarikat usaha sama 1MDB-Aabar) adalah untuk tujuan mengelirukan orang, untuk menunjukkan bahawa JV (syarikat usaha sama antara 1MDB dan Aabar) diperbadankan di Abu Dhabi.

Shahrol: Saya tidak ada komen.

Wan Aizuddin: Jho Low selalu menggabungkan syarikat luar dengan nama yang serupa dengan syarikat yang ditubuhkan seperti Blackstone dan sebagainya.

Shahrol: Saya setuju.

Wan Aizuddin: Perubahan nama ini adalah cara bagi Jho Low untuk menyempurnakan rancangannya agar dia menggelapkan berbilion dolar kemudian dari 1MDB?

Shahrol: Saya tidak dapat mengulas apa niatnya.

Wan Aizuddin: Syarikat (usaha sama 1MDB-Aabar) ini diperbadankan di luar negara untuk mengelakkan pemeriksaan dari Bank Negara dan pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi?

Shahrol: Saya tidak ada komen.

Saksi itu juga memberi kesaksian bahawa dia tidak banyak bertanya tentang perlunya syarikat usaha sama 1MDB-Aabar diperbadankan di luar negara kerana pada masa itu dia sudah dalam proses berundur sebagai CEO 1MDB, dan membiarkan Jho Low dan penasihat umum 1MDB Jasmine Loo untuk menguruskan perkara itu.

Untuk rekod, Shahrol adalah CEO 1MDB dari tahun 2009 hingga Mac 2013.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung esok pagi.

Bekas perdana menteri Najib dibicarakan atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan sogokan dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berhubung dengan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Lihat Komen
ADS