mk-logo
Berita
Kes SRC: Najib tarik balik permohonan semakan tangguh bicara
Diterbitkan:  Aug 5, 2020 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak telah menarik balik permohonan semakannya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengenepikan perintah untuk menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Peguam Najib, Nur Syahirah Hanapiah dalam satu mesej WhatsApp kepada media berkata pendengaran bagi permohonan itu, yang telah ditetapkan esok, telah dikeluarkan memandangkan pemohon (Najib) telah menarik balik notis usul beliau.

"Beliau berhak membangkitkan isu itu ketika rayuan substantif kelak," katanya sambil menambah bahawa pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap penarikan balik permohonan itu dan untuk Najib membangkitkan isu tersebut semasa rayuan substantif.

Nur Syahirah berkata notis penghentian semakan itu telah difailkan pada 3 Ogos lepas.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan surat hari ini untuk memaklumkan bahawa kedua-dua pihak tidak perlu hadir esok.

Najib, 67, memfailkan permohonan itu untuk menyemak keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 Mac 2019 yang mengenepikan perintah penangguhan yang diberikan kepadanya oleh Mahkamah Rayuan.

Susulan keputusan itu, mahkamah tinggi telah meneruskan pendengaran perbicaraan kes SRC.

Pada 11 Feb 2019, mahkamah rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu rayuan beliau berhubung isu interlokutari selesai.

Pada 28 Julai lepas, ahli parlimen Pekan itu telah dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan pecah amanah jenayah serta pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, mahkamah tinggi mengarahkan beliau menjalani kesemua hukuman penjara secara serentak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS