Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: S'pura catat 908 kes baru dalam masa 24 jam

GLOBAL | Singapura mengesahkan 908 kes baru jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam dengan majoriti melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan pada tengah hari ini, kebanyakan pekerja telah diuji semasa tempoh pengasingan atau kuarantin meskipun tidak menunjukkan bergejala.

Mereka adalah kumpulan pekerja terakhir yang diuji dan dari asrama dengan risiko jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Oleh itu, kementerian menjangkakan kes harian akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang sebelum kembali berkurangan selepas pembersihan asrama selesai.

"Kami mengikut jadual untuk membersihkan semua asrama pada 7 Ogos, kecuali beberapa blok yang dijadikan kemudahan kuarantin.

“Ketika ini terdapat 9,700 pekerja di kemudahan kuarantin ini. Mereka akan menjalani tempoh pengasingan selama 14 hari dan tertakluk kepada ujian akhir sebelum mereka kembali bekerja,” jelasnya.

Menurut kementerian itu lagi, terdapat empat kes dalam komuniti dan empat kes import yang dilaporkan hari ini.

Kes terbaru tersebut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu kini sebanyak 54,254 kes.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 725 kes sebagai kes import, 2,184 kes komuniti dan 50,437 penghuni asrama.

Sehingga kini, 27 orang maut akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di sini.

Tiada kluster baru dikenal pasti semalam.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS