Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga cubaan kudeta di Sabah, Shafie patahkan dua kali - Adun Luyang

Wakil rakyat Sabah mendakwa bekas ketua menteri Musa Aman telah melakukan tiga kali percubaan untuk merampas kuasa dari kerajaan negeri pimpinan Warisan itu.

Adun Luyang, Phoong Jin Zhe mendedahkan penyandang jawatan ketua menteri Shafie Apdal berjaya menyekat dua percubaan kudeta itu namun akhirnya gagal menghentikan usaha terakhir tersebut sehingga menyebabkan beliau membubarkan DUN.

Jelasnya, sebagai jalan penyelesaian, Shafie terpaksa mengadakan pilihan raya negeri.

Menteri belia dan sukan Sabah itu berkata menerusi forum dalam talian semalam bahawa Adun Sabah dari Warisan dan PH kerap mendapat tawaran untuk berpaling tadah sejak kerajaan persekutuan PH runtuh Februari lalu.

Selepas Shafie dicalonkan sebagai perdana menteri oleh PH Plus, Phoong berkata pemimpin PN segera mengusahakan cubaan merampas pentadbiran kerajaan Sabah.

Adun Luyang, Phoong Jin Zhe.

Phoong berkata, Shafie berjaya menghentikan dua cubaan supaya Adun berpaling tadah tetapi apabila presiden Warisan itu dilantik sebagai calon perdana menteri, gerakan kudeta itu mula menjadi lebih agresif.

“Sejak kerajaan persekutuan bertukar pada 1 Mac lalu, terdapat pihak yang cuba campur tangan dalam politik Sabah, mereka cuba untuk membentuk kerajaan negeri baru.

“Malah, terdapat tiga kali cubaan lompat parti, Shafie berhasil mematahkan dua cubaan itu.

“Malangnya, pada cubaan (kudeta) kali ketiga, Musa berjaya mendapatkan Adun yang cukup (untuk membentuk kerajaan baru), ia adalah situasi yang tergantung,” tambahnya.

PN takut Sabah berontak

Phoong berkata perkembangan politik negara telah menyebabkan ketidakstabilan di Sabah dan berkait rapat dengan isu calon perdana menteri PH Plus jika berjaya merampas kembali Putrajaya.

“(Presiden PKR) Anwar Ibrahim tidak dapat meraih sokongan yang cukup sejak beberapa bulan lalu jadi PH terutama DAP mencadangkan agar Shafie dilantik sebagai calon perdana menteri.

“Cadangan ini, katanya telah membuatkan PN tergamam dan risau jika PH dapat sokongan lebih di Sabah.

“(Ia) mendorong tindakan segera di kalangan (pemimpin) PN dan ahli politik Barisan Nasional (BN) untuk melumpuhkan kerajaan negeri Sabah.

“Mereka tahu jika tidak menangani Sabah dan Shafie sekarang, kedua-dua itu akan menjadi aset penting untuk PH.

“Sejak pencalonan Shafie (sebagai calon PM PH Plus) sehinggalah kepada keruntuhan kerajaan negeri Sabah, ia terjadi hanya dalam masa sebulan, kita dapat lihat hubung kaitnya,” jelas Phoong.

Phoong berkata demikian ketika menghadiri wacana atas talian berkenaan pilihan raya negeri Sabah yang dianjurkan oleh KLSCAH dan Persatuan Pemuda Selangor Hokkien.

Situasi Sabah dampak politik persekutuan

Panelis lain pada forum itu, James Chin turut berkata Sabah telah mengalami pertukaran kuasa politik hampir setiap sepuluh tahun.

Bagaimanapun, pengarah Institut Asia Tasmania itu berkata krisis politik sekarang berbeza dengan sebelumnya, berpunca daripada politik di peringkat persekutuan.

“Semua krisis politik sebelum ini bermula di Sabah. Tentu sekali, pihak kerajaan persekutan terlibat tetapi tidak terlalu memberi kesan berkenaan isu kerajaan persekutuan.

“(Tetapi) kali ini, krisis politik bermula di Kuala Lumpur, kerana perubahan (kerajaan persekutuan) pada Februari,” katanya.

James mendakwa situasi ini menjadi pertaruhan besar buat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang turut berdepan masalah perebutan kuasa dengan Umno.

“Pertaruhan tinggi untuk Muhyiddin, sebab ada perebutan kuasa antara Bersatu dan Umno.

“Ini memberi kelebihan untuk menjatuhkan Warisan dan bentuk kerajaan di Sabah yang memihak kepadanya,” katanya.

Mengulas lanjut, James berkata Muhyiddin mempunyai sokongan daripada GPS di Sarawak dan jika beliau dapat menguasai Sabah juga, maka Muhyiddin tidak perlu risau berkenaan situasi politik di Malaysia Timur.

‘Shafie hargai persahabatan’

Sejak Langkah Sheraton, Warisan berdepan cabaran dari dalam dan luar parti yang mendesak parti itu untuk berbincang sama ada untuk menyertai PN atau tidak, dedah Phoong.

“Ada perbincangan di antara Warisan sekiranya mereka perlu memihak kepada PN sebagai pertukaran buat sumber dan kestabilan.

“Jika mereka berbuat demikian, mungkin situasi hari ini tidak akan berlaku,” tambahnya.

Phoong turut menyifatkan Shafie merupakan seorang yang menghargai persahabatan kerana memutuskan untuk kekal bersama PH walaupun keadaan politik semasa kelihatan tidak memihak gabungan itu.

“Bekerja dengan Shafie untuk dua tahun, saya rasa beliau seorang yang menghargai persahabatan.

“Kami dalam satu gabungan menentang BN ketika pilihan raya lalu. Shafie tinggalkan Umno dan bersuara berkenaan isu 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Jadi Shafie lebih senang bekerjasama dengan PH seperti yang kita lihat ketika usul untuk menggugurkan speaker parlimen. PH meraih 109 undi, sebab itu formula PH Plus berkesan,” katanya.

Ketika forum, moderator Lau Yi Leong juga bertanya jika DAP Sabah akan mempertimbangkan cadangan Pemuda Amanah untuk bergabung dengan menggunakan logo Warisan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Phoong membalas dengan berkata bahawa pihaknya akan mempertimbangkan cadangan itu secara terbuka, bagaimanapun katanya pada masa ini tiada keperluan untuk menggunakan logo Warisan.

“Buat masa ini, kita masih bincang sama ada ia perlu atau tidak.

“Semasa pilihan raya lalu, penyatuan logo meraih kekuatan. Tetapi saya fikir formula sedia ada masih berguna,” tambahnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS