Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Najib luluskan pelantikan pengarah eksekutif 1MDB
Diterbitkan:  Aug 6, 2020 2:40 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

KES 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak secara peribadi bersetuju Mohd Hazem Abdul Rahman bergabung dengan 1MDB sebagai pengarah eksekutif.

Ini adalah satu lagi contoh kuasa Najib terhadap 1MDB, yang berdasarkan Artikel 117 memorandum dan artikel persatuan syarikat, menyatakan bahawa perdana menteri mesti memutuskan pelantikan atau pelaburan utama.

Saksi pendakwaan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa dia menerima maklumat latar belakang (CV) Hazem melalui Jho Low pada 2012.

Dalam CV Hazem, kata Shahrol, turut dimasukkan catatan oleh Najib yang menyatakan bahawa pengambilan baru harus dilantik sebagai "pengarah eksekutif".

"Apa yang berlaku seterusnya adalah saya menjelaskan bahawa tidak ada ketua pengarah eksekutif dalam 1MDB pada masa itu dan saya mengesyorkan (Hazem) dilantik sebagai COO (ketua pegawai operasi).

"Ketika dia masuk sebagai COO, saya meletakkanya sebagai orang yang bertanggungjawab untuk hartanah sementara saya memberi tumpuan kepada perniagaan tenaga," katanya.

Dalam pemeriksaan balas oleh Wan Aizuddin Wan Mohammed, Shahrol tidak dapat mengesahkan sama ada lembaga itu meluluskan pelantikan Hazem tetapi ada surat mengenai perkara ini daripada Najib.

Hazem akhirnya menggantikan Shahrol sebagai CEO pada 2013, sementara Shahrol kemudian beralih ke Unit Pengurusan Prestasi Dan Penyampaian (Pemandu) yang masih berfungsi sementara masih menjadi pengarah dalam 1MDB.

Tidak banyak yang diketahui mengenai Hazem selain tugasnya sebagai penganalisis dengan Deutch Bank diikuti beberapa tahun sebagai pengarah urusan Sime Darby Auto ConneXion.

Pada 2015, Hazem meletak jawatan sebagai CEO 1MDB dan digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy.

Walaupun Shahrol telah memberi keterangan bahawa Najib secara peribadi terlibat dalam kemasukan Hazem ke dalam 1MDB, Wan Aizuddin mencadangkan bahawa CEO baru dilantik atas cadangan Jho Low untuk meneruskan skim menggelapkan dana dari 1MDB.

Wan Aizuddin: Hazem dilantik untuk menggantikan anda sebagai CEO sebagai kaedah untuk menyampaikan baton dari satu orang (kepada orang lain) untuk diberitahu oleh Jho Low mengenai apa yang harus dilakukan.

Shahrol: Tiada komen mengenai perkara itu.

Pertanyaan Wan Aizuddin cuba membuktikan bahawa Hazem tidak pernah memberi penerangan kepada lembaga pengarah mengenai transaksi, perjanjian pembiayaan atau perjanjian pinjaman yang melibatkan Abu Dhabi Malaysian Investment Company Limited (Admic).

Admic adalah nama syarikat usahasama yang ditubuhkan pada tahun 2013 antara 1MDB dan syarikat palsu Aabar Investment PJS Ltd (BVI).

Kedua-duanya seharusnya memasukkan AS$ 3 bilion ke dalam perjanjian itu, tetapi hanya 1MDB yang menunaikan perjanjian berkenaan.

Shahrol bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa penerbitan bon 1MDB Global Investment Limited bernilai RM3 bilion, yang diatur oleh Goldman Sachs, adalah hasil tindakan cuai 1MDB kerana lembaga pengarah tidak diberi penerangan.

Dia juga memberi kesaksian bahawa lembaga pengarah 1MDB tidak membincangkan rancangan luar jangka sekiranya Aabar tidak memenuhi kesepakatan mereka.

Wan Aizuddin: Tidakkah kamu menganggap itu penting?

Shahrol: Bila difikir semula, penting, tapi ketika itu perhatian tertumpu pada kunjungan putera mahkota. Dalam fikiran saya ketika itu, putera mahkota sendiri (Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan) yang menjadi bos Aabar.

Putera mahkota Abu Dhabi telah menandatangani perjanjian usahasama dengan Najib pada 12 Mac 2013 bagi pihak Aabar Investment PJS (yang berpusat di Abu Dhabi) dan 1MDB.

Namun, sekarang telah ditentukan kesepakatan itu benar-benar ditandatangani antara 1MDB dan Aabar versi BVI, yang menyamar sebagai "Aabar" sebenarnya dari Abu Dhabi.

Shahrol memegang peranan barunya di Pemandu pada 14 Mac 2013 hanya dua hari setelah "perjanjian" itu ditandatangani.

Lihat Komen
ADS