Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan kes tuduh anak Guan Eng ditangkap kini pada AGC
Diterbitkan:  Aug 6, 2020 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Polis telah melengkapkan kertas siasatan mereka mengenai tuduhan palsu yang mengatakan anak lelaki Lim Guan Eng (PH-Bagan) telah ditangkap pada Februari kerana cuba membawa masuk RM2 juta ke Singapura.

Dalam jawapan bertulis kepada Lim semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengatakan bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Mei.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang menimbulkan kerisauan orang ramai, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan rangkaian secara tidak wajar.

KDN menjawab pertanyaan Lim, mengenai tindakan yang diambil terhadap seorang pemimpin Umno yang menyebarkan berita palsu itu.

Lim dipercayai merujuk kepada ahli exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo.

Setiausaha Agung DAP mengancam akan menyaman Wan Muhamamd Azri.

Ketua Polis Negara Hamid Bador sebelum ini mengatakan bahawa berita mengenai anak lelaki Lim ditangkap, yang tersebar pada bulan Mac, adalah palsu.

Sementara itu dalam jawapan bertulis berasinga, KDN mengatakan bahawa kertas siasatan mengenai pendakwah kontroversi Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang didakwa menghina orang Hindu, juga kini sudah dihantar ke AGC.

Terdapat tiga kertas siasatan, dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 298A dan 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Namun, AGC pada Julai 2019, mengatakan tidak akan membuat pertuduhan terhadap Zamri Vinoth kerana didakwa menghina orang Hindu.

Pendakwah itu, yang merupakan anak murid Zakir Naik, telah ditangkap pada April 2019 setelah memuat naik khutbah yang dianggap telah menghina orang Hindu.

Tidak jelas apakah kertas siasatan yang disebut oleh KDN semalam adalah dokumen yang berasingan yang kini dipertimbangkan.

Lihat Komen
ADS