Malaysiakini
BERITA

Covid-19: Jais arah surau, sekolah Kafa Seksyen 23 Shah Alam tutup serta-merta

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Ogs 2020, 4:01 petang

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai langkah pencegahan telah mengarahkan Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di Shah Alam, ditutup serta merta susulan ada dalam kalangan jemaahnya mempunyai kontak rapat, dengan individu positif Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata, turut diarahkan tutup adalah Sekolah Kafa Al-Jannah, berdekatan surau berkenaan.

Beliau berkata buat masa ini, surau tersebut tidak dibenarkan menganjurkan solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan lain sebagai langkah pencegahan, bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 kepada penduduk setempat.

“Hanya tiga petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardu di surau berkenaan. Jawatankuasa surau hendaklah memastikan individu terlibat menjalani ujian saringan Covid-19 dan melaporkan keputusannya kepada Jais.

“Proses sanitasi juga hendaklah dilakukan serta merta di seluruh kawasan surau dan sekolah Kafa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata Mohd Shahzihan, jawatankuasa surau diarah memantau rapat isu berkenaan, serta mengingatkan jemaah supaya meningkatkan langkah pencegahan wabak Covid-19, seperti disarankan Jais.

Katanya, Surau Al-Jannah hanya boleh beroperasi semula selepas dibenarkan oleh pihaknya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat setempat supaya tidak panik, kerana penutupan surau tersebut adalah langkah biasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan menyarankan orang ramai sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard ditetapkan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai notis penutupan surau berkenaan dan mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk setempat.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.