Malaysiakini
BERITA

Kadir Jasin umum keluar Bersatu

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Ogs 2020, 4:32 petang

Tokoh wartawan A Kadir Jasin mengumumkan telah keluar Bersatu.

"Saya keluar Bersatu berkuatkuasa 6 Ogos 2020 melalui surat kepada Setiausaha Kerja (Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya) pada tarikh yang sama," katanya pada suatu kenyataan ringkas hari ini.

Bekas ahli majlis tertinggi Bersatu itu pernah menjadi penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad.

Selepas pembentukan kerajaan PN, Bersatu berpecah kepada dua kem, penyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas pengerusinya Dr Mahathir.

Kadir dilihat sebagai pemimpin Bersatu yang berpihak kepada bekas perdana menteri itu.

Tindakan Kadir selepas Dr Mahathir pada petang tadi memaklumkan akan menubuhkan satu lagi parti yang "akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi" sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.

Turut kelihatan pada sidang media Dr Mahathir hari ini ialah bekas pemimpin Bersatu, Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak hadir dan dikatakan sedang berada di Johor untuk meraikan majlis persaraan ibunya.

Parti baru itu buat sementara waktu akan diterajui oleh Mahathir sebagai pengerusinya dan anaknya Mukhriz Mahathir sebagai presiden.

Dr Mahathir berkata matlamat parti baru itu masih bertujuan "menghapus rasuah dan kleptokrasi" dan menegaskan perjuangan wadah politik baru itu "berasas semangat, bukan duit."

Ahli parlimen Langkawi juga meramalkan parti barunya akan menghadapi "masalah" dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti yang pernah dialami Bersatu dan Pakatan Harapan sebelum PRU14.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberikan maklum balasnya mengenai langkah politik terbaru bekas perdana menteri itu.

"Itu terpulang kepada Tun Mahathir. Malaysia sebuah negara demokrasi, tiada siapa boleh halang untuk tubuh parti," katanya pada ciapan di Twitter.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.