Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian Abd Jalil Ali meninggal dunia pagi ini.

Berita berkenaan disahkan oleh Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Dr Hussamuddin Yaacub di laman Twitter beliau.

Menurutnya, setakat jam 7.08 pagi, jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

“Semoga sahabatku Datuk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.

Abd Jalil berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Sementara itu, anak Allahyarham, Asila Jalil ketika dibubungi Bernama berkata bapanya meninggal dunia pada pukul 6.30 pagi tadi.

Katanya, Allahyarham, 66, yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang dikejarkan ke hospital pada pukul 4.30 pagi selepas rebah di rumah.

“Jenazah perlu menjalani ujian saringan Covid-19, iaitu prosedur operasi standard (SOP). Ujian mungkin mengambil masa antara empat hingga lapan jam sebelum dibenarkan dibawa pulang,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya selepas dibenarkan dibawa keluar dari hospital.

-Bernama