Covid-19: Tujuh kes baru, tiada kes dari kluster Sivagangga
KORONAVIRUS | Tujuh lagi kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan penyakit berkenaan kini adalah sebanyak 170 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata tiada jangkitan baru dikesan daripada kluster Sivagangga yang bermula daripada sebuah restoran nasi kandar di Kedah.
Beliau juga memaklumkan seramai 47 pesakit telah pulih dengan jumlah keseluruhan kini adalah sebanyak 8,775 kes.
Noor Hisham berkata daripada tujuh kes baru, enam merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.
Enam kes import tersebut adalah dari China (1 kes di Kuala Lumpur); Yaman (1 kes di Kuala Lumpur); Myanmar (1 kes di Kuala Lumpur); Jepun (1 kes di Selangor); Pakistan (1 kes di Sarawak); dan Mexico (1 kes di Labuan)
"Hanya satu kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia, iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan.
"Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Mei 2020. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar," katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham juga memaklumkan tiada pertambahan korban dengan jumlah kes kematian masih kekal sebanyak 125 kes.
Sementara itu beliau berkata setakat tengah hari tadi, seramai 4,198 orang telah disaring daripada kluster Sivagangga.
Menurutnya, bilangan saringan ini merangkumi saringan dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Daripada jumlah ini 43 kes dikesan positif, 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan.

