Dewan Rakyat hari ini diberitahu tindakan tiga orang bekas Perdana Menteri mengkategorikan Malaysia sebagai negara sekular adalah pendapat peribadi mereka.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim berkata, persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau sekular bukan satu isu lagi kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan sudah dinyatakan dengan jelas lebih 20 kali bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini.

"Kenyataan semua bekas Perdana Menteri itu yang Malaysia adalah negara sekular adalah pendapat peribadi mereka sahaja," katanya.

Mashita berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP- Bukit Gelugor) dalam sesi soal-jawab di Dewan Rakyat yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung kedudukan agama Islam di negara ini.

"Semua orang tahu Tunku (Abdul Rahman), Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn tidak mengkategorikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Apakah kerajaan sekarang mengkategorikan Malaysia sebagai negara Islam atau sekular? Saya mahu Setiausaha Parlimen menjawabnya," kata Karpal.

Tindakan Karpal membangkitkan soalan tersebut menyebabkan penyokong kerajaan, Datuk Badruddin Amiruldin (BN- Jerai) mencelah menuduh wakil DAP itu memainkan isu sensitif di Parlimen mankala Datuk Mohamed Aziz (BN- Sri Gading) pula berkata soalan Karpal itu menyimpang dari soalan asal dan oleh itu tidak perlu dijawab.

Isu ini berbangkit dari soalan asal Amiruldin yang berkisar tentang pelaksanaan konsep Islam Hadhari di peringkat kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Dalam soalannya, wakil dari Jerai itu merujuk Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Konsep Islam Hadhari dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Terjemahan