Empat lagi menteri punyai saman trafik
Empat orang lagi menteri kabinet didapati mengumpul timbunan saman trafik setelah diperiksa menerusi samaada kad pengenalan lama atau baru masing-masing.
Empat orang lagi menteri kabinet didapati mengumpul timbunan saman trafik setelah diperiksa menerusi samaada kad pengenalan lama atau baru masing-masing.
Mereka ialah Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Pembangunan Wilayah, Datuk Zulhasnan Rafique dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili.
Semalam malaysiakini gagal mengesan nama Zainuddin, Zulhasnan dan Ongkili dalam senarai penerima saman kerana kenderaan yang disaman itu didaftarkan menggunakan kad pengenalan lama.
Zainuddin didapati mempunyai 58 saman tidak berbayar sejak 3 April 1999. Saman terbaru beliau yang dikeluarkan pada 17 April lalu di Kuala Kangsar. Beliau perlu membayar RM7,600 selepas diskaun daripada jumlah sebenar RM17,400.
Zulhasnan (foto bawah) dan Ongkili (foto atas)masing-masing mempunyai tiga saman. Bagaimanapun, mereka telah membayar saman tersebut petang tadi.
Tengku Adnan pula mempunyai 17 saman belum berbayar. Kesalahan trafiki itu dilakukan antara 9 Julai 1999 hingga 19 Mac tahun. Kenderaan beliau didaftarkan atas nombor kad pengenalan lamanya. Jumlah sama yang perlu dibayar ialah RM1,570 setelah diskaun dari jumlah maksima RM5,100.
Sebahagian besar kesalahan trafik para menteri ini ialah memandu melebihi had laju.
Setakat ini satu-satunya menteri yang belum ditemui mempunyai kesalahan trafik ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdullah Md Zain (foto bawah). Kenderaan yang didaftarkan melalui kad pengenalan barunya bersih dari sebarang saman. Bagaimanapun pemeriksaan menerusi kad pengenalan lamanya tidak dapat dilakukan kerana nombornya tidak diketahui.
Semalam malaysiakini melaporkan 22 menteri mempunyai jumlah saman tidak berbayar sebanyak RM124,850 membabitkan 999 saman.
Malaysiakini masih gagal mengesahkan status enam menteri - tan Sri Dr Lim Keng Yaik (Tenaga, Air dan Komunikasi); Datuk Bernard Giluk Dompok (Menteri Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Azmi Khalid (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Mustapa Mohamed (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (Menteri Dalam Negeri).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam menggesa semua menteri kabinet yang mempunyai saman trafik supaya membayar saman masing-masing.
Beliau sendiri yang mempunyai 67 saman trafik bernilai RM7,820 selepas diskaun berjanji akan membayar semua saman berkenaan. Berita asal

