Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isteri Guan Eng terkejut dirinya juga jadi sasaran SPRM
Diterbitkan:  Aug 10, 2020 12:30 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Betty Chew, isteri bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata dia terkejut dan bingung bahawa dirinya juga menjadi suspek dalam siasatan SPRM dan turut dijadualkan untuk didakwa di mahkamah.

Chew berkata dia masih "bergelut" untuk memahami tangkapan ke atasnya oleh SPRM di Pulau Pinang pada Jumaat lalu dan tuduhan pengubahan wang haram yang dilemparkan terhadapnya.

Sebaliknya, katanya, dia menganggap bahawa ketika diminta untuk disoal siasat, suruhanjaya anti-rasuah itu sekadar ingin menyoalnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan terhadap suaminya berhubung dengan projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

"Pada mulanya, saya fikir saya dipanggil kerana kes suami saya, tanpa mengetahui bahawa orang yang menjadi sasaran mereka adalah diri saya.

"... saya diberitahu bahawa saya akan ditangkap dan mungkin didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Saya amat terperanjat.

"Keseluruhan proses itu amat meletihkan, setiap jari di kedua-dua tangan kiri dan kanan saya dirakamkan pada satu borang dan kenyataan saya juga direkodkan. Kemudian gambar muka saya diambil dari bahagian depan, kiri dan kanan dengan nombor laporan.

"Saya bingung, saya kini secara rasmi dituduh melakukan pengubahan wang haram," kata Chew dalam catatan di Facebook hari ini.

Adalah dilaporkan bahawa Chew bukannya disiasat tentang kaitannya dengan projek terowong itu, tetapi sebaliknya, dia dikatakan terlibat dengan syarikat swasta, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

Dia dijadualkan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah (Amla) di Mahkamah Sesyen di Butterworth esok.

Chew, seorang peguam, mempersoalkan yuran perundangan atau sebagai perunding untuk perkhidmatan yang dibekalkannya itu sedang dipersoalkan.

"Apa kesalahan yang saya lakukan untuk mereka tangkap saya di bawah Akta tersebut?

"Saya menjalani kehidupan biasa dengan pendapatan yang jujur dan tidak terbabit melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang."

Sebelum ini, pada tahun 2017, tuduhan dibuat ke atas Chew selaku pengarah Excel Property Management and Consultancy, bersama dengan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Phang sebelum ini didakwa tetapi kemudiannya dibebaskan dalam kes dakwaan skandal banglo Guan Eng.

'Lim beri saya kasih sayang, bukan kemewahan'

Dia juga mempertahankan sokongannya kepada Lim, setiausaha agung DAP dan bekas menteri kewangan Pakatan Harapan, yang juga berdepan beberapa tuduhan rasuah berkaitan dengan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Lim mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan mengenai pertuduhan yang mendakwa dia menggunakan kedudukannya untuk suapan bernilai RM3.3 juta.

Betty hari ini menegaskan bahawa suaminya tidak bersalah.

"Dia begitu bersemangat memerangi rasuah, memberi saya kasih sayang bukan kemewahan. Dengan iman kepada Tuhan, kita akan berjaya bersama-sama melawannya.

 "Kesusahan akan menjadikan cinta kita menjadi lebih kuat."

DAP mendakwa bahawa kes terhadap Lim dan isterinya bermotifkan politik, dengan bapa mertua Chew, ahli parlimen Iskandar Puteri dan veteran DAP Lim Kit Siang meminta pihak berkuasa supaya menggugurkan kes tersebut terhadap Chew.

Sementara itu, beberapa peguam Pakatan Harapan meminta pihak berkuasa untuk memastikan layanan yang adil diberikan kepada Lim dan Chew dalam berdepan dengan kes-kes itu ketika perbicaraan.

Kenyataan itu, yang ditandatangani oleh Senator Yusmadi Yusoff, Adun Kebun Bunga, Jason Ong dan bekas Adun Batu Uban, VS Raveenthran, di bawah kumpulan Lawyers for Justice, berkata, bahawa proses sewajarnya yang bebas dari sikap pilih kasih akan membantu memastikan rakyat bahawa keadilan dipertahankan.

"Bagi kami, keadilan itu buta warna tidak kira kedudukan, kedudukan, apa lagi, pemahaman politik, " kata mereka.

Mengenai tangkapan ke atas Lim, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu Malaysiakini baru-baru ini bahawa Lim bukanlah ahli politik pertama yang ditahan semalaman.

Pemimpin lain itu, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan anggota Majlis Tertinggi Umno Azeez Rahim.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS