Kesemua 55 kereta BMW yang digunakan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) adalah kenderaan yang bertaraf 'besi buruk', kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

"Kenderaan ini sebenarnya tidak boleh dijual atau didaftarkan kerana nombor chasis dan enjinnya telah dipinda.

"Oleh itu, ia hanya boleh dijadikan besi buruk, rugilah. Baik ia digunakan oleh Kastam," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Menurut laporan Bernama, daripada 55 kenderaan yang dilucutkan hak itu, 25 unit digunakan pasukan Gerak Cepat KDRM dan 35 unit lagi digunakan oleh pasukan perondanya.

Dr Hilmi mengulas isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof mengenai penggunaan kenderaan berkuasa tinggi seperti BMW oleh jabatan itu, sedangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menggunakan kereta nasional seperti Proton Wira, Waja dan Perodua Kancil.

Mohd Said juga menyarankan semua kenderaan mewah itu dijual bagi menambah pendapatan negara.

Kejar penyeludup

Perdebatan mengenai perkara itu tercetus ekoran dakwaan bahawa Mohd Said meminta KDRM 'menutup sebelah mata' berhubung kesalahan membawa masuk kayu balak dari Indonesia dan kini sudah terbawa-bawa hingga kepada soal lelongan kereta mewah yang dilucut hak oleh KDRM.

Mohd Said mempersoalkan bagaimana KDRM memperuntukkan dua kereta Mercedes Benz kepada dua pegawainya manakala permohonan beliau untuk membeli kereta tersebut ditolak.

Dr Hilmi menambah, KDRM yang mula menggunakan kereta BMW sejak 2003 bagi mencegah penyeludupan, memerlukan kereta berkuasa tinggi bagi menangani penyeludup yang menggunakan kereta yang diubahsuai.

"Ada penyeludup yang ubahsuai kereta mereka yang boleh memecut sehingga 200km sejam," katanya.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata sepanjang Januari hingga Julai lalu, KDRM merampas lebih 174 juta barangan seludup bernilai lebih RM87 juta.

Antaranya rokok kretek (RM8.49 juta), rokok putih (RM10 juta), minuman keras (RM2.54 juta), tekstil (RM703,261), kenderaan (RM10.58 juta), barangan elektrik (RM6.24 juta) dan mercun (RM1.65 juta).

Mohd Said beri keterangan

Sementara itu, Mohd Said akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Mengenai Integriti Parlimen Selasa depan. berhubung dakwaannya itu.

"Saya akan datang tetapi saya mahu bercakap mengenai semua aspek operasi kastam, bukan hanya cara jabatan itu mengendalikan penjualan kereta mewah yang dilucutkan hak," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen semalam.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid telah dipanggil memberi penjelasan berhubung prosedur pelupusan kenderaan yang dilucutkan hak kepada jawatankuasa itu kelmarin.

Ia ekoran dakwaan Mohd Said di Dewan Rakyat dua minggu lalu lepas bahawa terdapat pegawai tinggi kastam menyalahgunakan kuasa dalam penjualan kereta mewah yang dilucutkan hak.

Mohd Said mendakwa ada kereta mewah bernilai RM200,000 dan dalam keadaan baik dijual pada harga RM50,000 dan RM60,000 kepada rakan-rakan pegawai kastam terbabit.

Bagaimanapun, pengerusi jawatankuasa parlimen itu, Tan Sri Bernard Dompok, berkata, pihaknya mendapati kastam telah bertindak mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan dalam isu pelupusan kereta kereta yang dilucutkan hak.

Mohd Said berkata beliau membangkitkan isu kastam kerana mahu menjaga kepentingan kerajaan dan bukannya disebabkan soal peribadi.