Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suri rumah hadapi 40 pertuduhan terima suapan RM1j

Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini selepas dihadapkan dengan 40 pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes suapan membabitkan nilai RM1 juta, tujuh tahun lepas.

Norlaila Puteh, 35, membuat pengakuan itu setelah semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Murtazadi Amran.

Menurut semua pertuduhan itu, Norlaila didakwa bersubahat dengan suaminya Mohd Azurine Che Bahadom - yang bekerja sebagai ketua jualan di Nitori (M) Sdn Bhd - menerima suapan menerusi 40 keping cek bernilai RM25,000 setiap satu.

Cek berkenaan diterima daripada Syarikat Ga Yee Furniture (Ga Yee) melalui akaun bank tertuduh.

Upah yang keseluruhannya bernilai RM1 juta itu adalah sebagai dorongan untuk memastikan dan mengekalkan syarikat Ga Yee sebagai pembekal perabot utama kepada syarikat dari Jepun terbabit.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 9 Okt 2013 hingga 13 Feb 2017 di Ambank cawangan Alor Setar beralamat di No 1567, Wisma Landag, Jalan Kota.

Norlaila didakwa mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Hakim membenarkan ibu kepada seorang anak berusia dua tahun itu diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 13 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam K Paramanathan.

Mohd Azurine, 39, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 17 Mac lepas. Dia juga berdepan dengan 40 pertuduhan menerima suapan bernilai RM 1 juta pada waktu sama.

Mohd Azurine yang bekerja sebagai nelayan sejak 2018 dikenakan ikat jamin sebanyak RM800,000 namun gagal membayar jaminan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS