Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Temco di 2 kampung di Perlis sehingga 31 Ogos, bukan 4 Sept

Dua kawasan di Perlis iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) bermula dari hari ini hingga 31 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan Temco itu melibatkan 191 buah rumah dengan 872 orang penduduk.

"Pelaksanaan Temco akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan beberapa ‘cut off’ jalan raya. Pergerakan keluar masuk oleh penduduk setempat atau penduduk dari luar kawasan Temco adalah dilarang," katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baru Covid-19 di Perlis berasal daripada Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Ismail Sabri berkata premis perniagaan di bawah perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di dalam kawasan Temco dan masa operasi dihadkan dari pukul lapan pagi sehingga enam petang.

Selain itu, dia berkata pergerakan di dalam kawasan Temco adalah dibenarkan dan bekalan makanan dibenarkan dibawa masuk ke kedai runcit yang berada di dalam kawasan terlibat.

Menurutnya lagi semua pejabat kerajaan dan sekolah yang terletak di dalam kawasan berkenaan juga ditutup dan semua aktiviti keagamaan di masjid-masjid dihadkan secara bersyarat manakala semua rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi.

"Petugas KKM akan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penduduk di dalam kawasan Temco," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata terdapat sedikit kekeliruan apabila terdapat kerajaan negeri mengumumkan mengenai melaksanakan Temco di lokaliti negeri mendahului kerajaan persekutuan.

Oleh itu dia mengingatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah kerajaan persekutuan dan perlu dipatuhi oleh semua kerajaan negeri kecuali negeri Sarawak.

"Kesan daripada kerajaan negeri melaksanakan sendiri peraturan tanpa kelulusan kerajaan persekutuan, akta tersebut tak boleh dikuatkuasakan dan polis tak boleh ambil tindakan kecuali dengan kelulusan kerajaan persekutuan," katanya.

Ismail memberi contoh kerajaan Sabah yang mengumumkan perhimpunan ramai tidak boleh melebihi 150 orang sedangkan ia menyalahi peraturan di bawah Akta 342 yang membenarkan perhimpunan ramai tidak lebih 250 orang.

Dia berharap agar kekeliruan tersebut tidak berulang lagi kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terlibat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS