Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Pelaburan RM150j tak dibincang dalam mesyuarat lembaga pengarah Felcra

Seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa lembaga tersebut tidak pernah membincangkan pelaburan RM150 juta sebaliknya hanya dimaklumkan oleh bekas pengerusi bukan eksekutif, Bung Moktar Radin.

Dr Habibah Suleiman, 72, salah seorang bekas ahli lembaga pengarah Felcra berkata bahawa keputusan untuk menaikkan pelaburan dari RM50 juta yang dipersetujui sebelum ini kepada RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual tidak pernah dibincang.

"Setakat pengetahuan saya RM50 juta sahaja dibincangkan.

"Memang tiada minit yang menyatakan pelaburan RM150 juta dibincangkan," katanya di mahkamah hari ini ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan.

Selaku saksi kelima dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar dan isterinya Zizie Ezette A Samad, Dr Habibah mengesahkan bahawa ALP Felcra hanya dimaklumkan mengenai pelaburan baru RM150 juta pada mesyuarat Jun 2015 selepas menerima kelulusan daripada Menteri Kewangan II ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah.

"Keputusan telah dibuat oleh menteri kewangan selepas mengambil pandangan semua pihak. Jadi, siapa kami (ALP Felcra) untuk mempersoalkan?" katanya.

Dr Habibah berkata demikian ketika Siti Noor bertanya kenapa ALP Felcra tidak menyoal selepas dimaklumkan mengenai pelaburan ke Public Mutual akan ditambah kepada RM150 juta.

Bagi soalan mengenai pihak yang membuat keputusan muktamad dalam isu pelaburan berkaitan Felcra, Dr Habibah berkata bahawa lembaga pengarah yang mempunyai kuasa itu.

"Kalau kira betul, ia (cadangan) perlu datang semula kepada ALP (untuk kelulusan). Sebarang keputusan muktamad perlu diambil oleh ALP Felcra," katanya.

Sebelum ini, pada 15 Mei, Dr Habibah memberitahu mahkamah bahawa Bung Moktar telah memberitahu pihak ALP bahawa Menteri Kewangan yang telah mengesyorkan kepada beliau untuk melabur RM150 juta.

Susulan itu, pada mesyuarat Jun 2015, ALP diberitahu bahawa menteri kewangan Husni Hanadzlah telah memberi kelulusan melaburkan RM150 juta.

Cadangan pelaburan RM150 juta yang dikatakan dimaklumkan oleh Bung Moktar berbeza dengan keputusan awal ALP Felcra yang hanya meluluskan RM50 juta sahaja.

Bung Moktar, 60, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menghadapi tiga pertuduhan sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.8 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, dan seorang lagi bernama Norhaili Ahmad Mokhtar, 42 melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Kesemua tuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob akan bersambung pada 12 Ogos ini.

Lihat Komen
ADS