Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 9 kes positif baru Covid-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 9,103 kes.

Daripada jumlah itu, lima adalah kes import melibatkan tiga warga Malaysia. Masing-masing yang didapati positif pulang dari Jepun, India, Pakistan, New Zealand dan Singapura.

Empat kes penularan tempatan pula melibatkan bukan warga - tiga kes dikenal pasti menerusi saringan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan satu lagi daripada saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth.

"Tiada kes penularan di dalam negara di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini," kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, dia memaklumkan seramai enam lagi pesakit telah sembuh, menjadikan jumlah pesakit pulih kepada 8,809 orang.

Sebanyak 169 kes aktif dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka korban kekal 125 kes.

Noor Hisham juga memaklumkan tiada kes baru dilaporkan untuk kedua-dua kluster Sivagangga dan Kurau pada hari ini.

Bagi kluster Sivagangga, dia berkata setakat tengah hari ini seramai 5,645 orang telah disaring dan kes positif kekal sebanyak 45.

Berikut pecahan ujian saringan mengikut negeri:

Kedah: Disaring - 4,154 orang, kes positif - 31, menunggu keputusan - 11

Perlis: Disaring - 1,223 orang, kes positif - 11, menunggu keputusan - 531

Pulau Pinang: Disaring - 268 orang, kes positif - 3, menunggu keputusan - 22

Bagi kluster Kurau pula, seramai 180 orang dari Perak dan Pulau Pinang telah disaring dengan kes positif kekal lima dan 52 individu masih menunggu keputusan.

"Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini. Situasi terkini juga akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa," kata Noor Hisham.