Paling Popular
Terkini

DUN KELANTAN | Kerajaan negeri akan menjadikan Rantau Panjang sebagai sebuah jajahan baru sebagai usaha menaik taraf kawasan itu di samping menggalakkan kehadiran pelancong.

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebelum ini permohonan untuk menjadikan kawasan yang bersempadan dengan Thailand itu sebagai jajahan baru sudah dibuat, namun ditolak.

"Kerajaan negeri sedang berusaha menjadikan Rantau Panjang sebagai jajahan baru. Kalau tidak boleh penuh pun, sekiranya jadi jajahan kecil seperti Lojing pun sudah OK.

"Sekarang ini Rantau Panjang berada bawah jajahan Pasir Mas. Rantau Panjang sudah boleh dipisahkan kerana pekan berkenaan sudah maju selain menjadi tumpuan pelancong.

"Kita akan buat permohonan sekali lagi," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar (PAS-Panchor) turut meminta peniaga di Rantau Panjang supaya mempelbagaikan jenis barangan yang dijual bagi menarik lebih ramai pelancong.

Katanya, mereka tidak boleh sekadar mengharapkan jualan barangan dari Thailand atau Kemboja semata-mata sebaliknya perlu memperkenalkan jualan barangan berjenama.

"Mungkin boleh berniaga barang berjenama sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong.

"Jika sekarang mereka yang mahu ke Rantau Panjang hanya disebabkan mahu membeli barang murah," ujarnya.

Lihat Komen
ADS