Malaysiakini
BERITA

MBSA 'gempur' premis ingkar di Sungai Buloh

Ramieza Wahid

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Ogs 2020, 5:59 pagi

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita beberapa premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.

Antara premis yang telah disita merupakan sebuah pusat hiburan tanpa lesen dan beberapa premis perniagaan lain.

MBSA turut mengeluarkan 98 notis pemberitahuan dan tujuh notis meroboh kepada 94 premis di kawasan tersebut.

Menurut Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan, operasi yang diadakan itu turut membabitkan gerai-gerai tanpa kebenaran yang beroperasi di bahu jalan yang mengakibatkan masalah kesesakan lalu-lintas.

Jelasnya, dari awal 2020 sehingga Julai lalu, sebanyak 25 premis tanpa lesen diambil tindakan manakala 19 premis tanpa lesen warga asing juga telah disita di kawasan terbabit.

“Tindakan sitaan diambil di bawah Undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam) dan Peruntukan 3 (menjaja tanpa lesen serta Peruntukan 42 (kuasa sitaan),” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan terbabit.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Selangor.

Turut serta dalam operasi adalah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MBSA mengalu-alukan kerjasama dengan SPRM bagi memastikan tadbir urus di organisasi sentiasa mengekalkan prinsip integriti dan memberikan komitmen agar siasatan segera dilakukan sekiranya ada kalangan pegawai kami melakukan salah guna kuasa,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.