Polis Pulau Pinang membongkar makmal mini memproses dadah milik sindiket pengedaran bahan terlarang itu selepas menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah (SPT) dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM447,320 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Aziz Abdul Majid berkata pihaknya menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal mini memproses heroin di Bukit Tengah pada 30 Julai lepas dan menahan seorang lelaki berumur 47 tahun, hasil risikan serta intipan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang sejak sebulan lepas.

"Polis mendapati sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lepas itu menjadikan rumah teres yang disewa mereka di Bukit Tengah sebagai tempat untuk memproses heroin serta membungkus semula pelbagai jenis dadah sebelum ia dijual di sekitar negeri ini.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 2,210 gram (g) heroin, kafein (2,763 g), syabu (660 g) dan 20 biji pil Erimin 5 yang kesemuanya bernilai RM47,320. Kami turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dadah di situ," katanya pada sidang akhbar di Geoge Town hari ini.

Katanya susulan serbuan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah juga di Bukit Tengah pada Sabtu lepas dan menahan seorang lelaki berumur 35 tahun dan merampas 10 bungkusan dadah jenis syabu seberat 10,357 g yang bernilai RM400,000 bersamanya.

Abdul Aziz berkata siasatan mendapati dua lelaki itu saling mengenali dan mereka merupakan ahli sindiket yang sama serta suspek kedua dipercayai berperanan sebagai pengedar dadah kepada pelanggan mereka.

"Dadah syabu yang ditemukan bersama lelaki itu telah siap diproses dan dibungkus dalam bungkusan teh cina dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa dan kami ketika ini sedang giat mengesan beberapa lagi ahli sindiket itu untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, ekoran penahanan dua lelaki yang tidak bekerja itu, polis menyita sebuah kereta dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM3,300 dan pihaknya juga percaya terdapat banyak lagi harta mereka yang akan disita dalam masa terdekat.

Beliau berkata lelaki pertama telah didakwa di mahkamah Isnin lepas menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala rakannya masih direman sehingga 14 Ogos ini dan disiasat menurut seksyen yang sama.

"Semua dadah yang kami rampas itu jika terlepas di pasaran boleh digunakan oleh 58,845 penagih dadah. Sementara itu sejak Januari hingga Julai, JSJN Pulau Pinang telah menahan seramai 6,145 orang kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran, memiliki dan positif dadah," katanya.

- Bernama