Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP: Data pengangguran bukti moratorium pinjaman perlu dilanjut
Diterbitkan:  Aug 12, 2020 7:12 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Perangkaan kadar pengangguran terkini pada bulan Jun menjadi bukti mengapa moratorium bayaran balik pinjaman bank masih perlu disambung untuk temph enam bulan lagi, kata DAP.

Kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, meskipun kadar pengangguran bulan Jun menurun ke 4.9 peratus dari 5.3 peratus pada bulan sebelumnya, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak melanjutkan moratorium.

Sebaliknya, kata Lim, penurunan itulah bukti kepada keberkesanan dan keperluan mendesak agar moratorium berkenaan dilanjutkan lagi sehingga 31 Mac 2021.

“Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penganggur dianggarkan seramai 773,200 orang, iaitu penurunan dari 826,100 orang pada bulan sebelum ini.

“Bagaimanapun, dari tahun ke tahun jumlah yang menganggur masih meningkat seramai 251,800 orang (berbanding pada Jun 2019),” katanya.

Jelasnya, mengikut perangkaan, kadar penyertaan buruh pada bulan Jun mencatatkan penurunan dari angka 68.9 peratus pada Januari tahun ini ke 68.1 peratus - angka sama seperti dicatatkan pada tahun 2017.

Sekiranya moratorium bayaran balik pinjaman tidak dilanjutkan dan dibiarkan berakhir pada September ini seperti rancangan asal, Lim menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat semula, malah banyak perniagaan kecil dijangka gulung tikar.

Oleh demikian, Lim sekali lagi menggesa kerajaan melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan lagi sehingga 31 Mac tahun depan.

Katanya, bank mampu menanggung enam bulan lagi moratorium setelah mendapat keuntungan selepas cukai sebanyak RM32 bilion pada 2019.

Menurut Lim, penangguhan bayaran balik pinjaman ini hanyalah “pengorbanan kecil” berbanding manfaat RM66.6 bilion yang akan dinikmati oleh rakyat sekiranya moratorium dilanjutkan.

Pada 27 Julai, Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz memberitahu parlimen bank akan menanggung kerugian sebanyak RM6.4 bilion kerana moratorium yang sepatutnya berakhir 30 September itu.

“Jika pihak bank tidak rela untuk menanggung kos RM6.4 bilion, kerajaan persekutuan boleh sahaja menanggung kos RM6.4 bilion tersebut bagi membantu 7.7 juta peminjam individu dan 245,000 PKS.

“Dengan unjuran pertumbuhan KDNK yang lebih lemah di suku kedua tahun ini yang akan diumumkan, keadaan amat mendesak untuk meneruskan langkah-langkah ekonomi yang boleh melindungi rakyat biasa dan perniagaan Malaysia daripada dampak buruk Covid-19,” kata Lim.

Buat masa ini, dasar kerajaan ialah memberikan lanjutan moratorium tiga bulan kepada peminjam yang kehilangan kerja.

Untuk syarikat atau individu yang pendapatannya terjejas akibat wabak Covid-19, mereka digalakkan untuk berunding terma baru pinjaman dengan bank masing-masing. 

Lihat Komen
ADS