Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim dakwa cabaran Najib perangkap hina mahkamah
Diterbitkan:  Aug 12, 2020 11:22 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata beliau tidak akan menjawab sepuluh soalan yang diajukan oleh Najib Razak mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Lim mendakwa cabaran terhadapnya itu merupakan usaha Najib untuk memerangkapnya supaya terdorong melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

"Ini adalah percubaan jahatnya untuk memerangkap saya melakukan kesalahan menghina mahkamah ("contempt of court").

"Saya tidak akan termakan dengan helah beliau untuk menjawab 10 soalan tersebut yang mungkin subjudis, kecuali untuk terus menegaskan bahawa projek terowong dan jalanraya itu telah dianugerahkan melalui proses tender terbuka dan bukannya oleh saya," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ini berlaku ketika Najib pada hantaran Facebook tiga hari yang lalu meminta Lim untuk menjawab soalan, termasuk rasuah 10 peratus yang didakwa diminta oleh bekas ketua menteri itu dari kontraktor. Ia merupakan kes jenayah yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Bagaimanapun, Lim, yang juga bekas menteri kewangan, menegaskan dalam pembelaannya bahawa projek itu dilakukan melalui tender terbuka dan tidak diberikan olehnya.

Lim dan Najib baru-baru ini bertengkar di media, terutama selepas pemimpin DAP membangkitkan masalah penahanannya oleh SPRM.

Lim menuduh SPRM mengamalkan pilih kasih kerana beliau perlu mengenakan pakaian seragam oren dan bermalam di lokap SPRM, sementara agensi anti-rasuah itu didakwa hanya menahan Najib di bilik lain di ibu pejabatnya.

Ini kemudian mendorong Najib mengeluarkan kenyataan kepada Malaysiakini, yang bertanya sekiranya Lim berpendapat beliau (Najib) bermalam dengan selesa di ibu pejabat SPRM seperti di sebuah hotel.

'Najib dapat layanan istimewa'

Mengulas hal tersebut, Lim berkata penahanan Najib yang tidak perlu menghabiskan waktu di lokap SPRM menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu tidak campur tangan dalam siasatan SPRM.

Beliau juga meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk menjawab di mana Najib ditahan ketika beliau ditahan semalaman berhubung kes SRC International dan 1MDB.

"Azam sebetulnya menjawab soalan saya secara profesional dan bukannya mencabar saya untuk membuat laporan polis atau saman SPRM di mahkamah berkenaan komen saya di Facebook.

"Dalam hantaran tersebut saya langsung tidak menyebut tentang layanan pegawai SPRM ketika saya dalam tahanan SPRM pada 6 ke 7 Ogos 2020.

"Saya cuma mempersoalkan SPRM mengapa menteri kewangan sebelum saya tidak menerima layanan seperti saya; tidur di dalam lokap berlantaikan papan tanpa tilam dan bantal selain memakai T-shirt lokap SPRM berwarna oren.

"Saya juga ingin tahu bagaimana penyokong-penyokong PN sudah mengetahui tentang pendakwaan saya empat hari sebelum saya didakwa pada hari Jumaat? Adakah pihak SPRM akan mengambil tindakan atau berpura-pura tidak tahu tentang kebocoran maklumat dalaman," soal Lim.

Beliau turut membidas Najib yang baru-baru ini didapati bersalah atas tujuh tuduhan jenayah yang berkaitan dengan SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

"Najib sememangnya diberi layanan istimewa di mana beliau bukan sahaja tidak perlu direman dalam lokap SPRM malah tidak malu untuk terus bercakap sesuka hati walaupun telah diputuskan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan SRC International.

"Saya tiada layanan istimewa sedemikian, justeru saya akan membuktikan kebenaran di mahkamah nanti," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS