Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengeluar cadang k'jaan borong pelitup muka, agih pada B40
Diterbitkan:  Aug 13, 2020 10:25 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Pengeluar pelitup muka mencadangkan agar kerajaan membeli pelitup muka secara borong pada kadar harga siling yang lebih rendah, dan seterusnya mengagihkan kepada golongan B40.

Ketua pegawai eksekutif Ideal Healthcare, Haminuddin Hamid dipetik Free Malaysia Today (FMT) sebagai berkata bahawa syarikatnya masih akan mendapat keuntungan sekiranya pelitup separuh muka dijual pada harga di bawah RM1.

Jelas Haminuddin, ini kerana pelitup muka keluaran Ideal Healthcare dijual pada harga 20 sen sekeping sebelum penularan wabak Covid-19.

Kata Haminidduin, langkah itu boleh mengurangkan pengambilan untung berlebihan oleh pengeluar.

Laporan FMT turut memetik persatuan pengguna yang menggesa kerajaan untuk menurunkan harga siling pelitup separuh muka tiga lapis pada harga lebih rendah berbanding kadar RM1 yang ditetapkan sebelum ini.

Ketua eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Paul Selvaraj, dipetik dalam laporan itu sebagai berkata, pertimbangan kerajaan untuk menurunkan harga siling pelitup separuh muka ke paras lebih rendah amat diperlukan.

Katanya, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga harus memeriksa kos pengeluaran sebenar dan menyesuaikan harganya.

Bagaimanapun, Setiausaha agung Gerakan Pengguna Malaysia Sukhdave Singh berkata Putrajaya mesti memastikan ia adil kepada pengeluar.

“Ia mestilah keadaan menang-menang untuk semua pihak.

“Tiada gunanya menurunkan harga dengan banyak sekiranya pengeluar memberhentikan pengeluaran,” katanya seperti dilapor FMT.

Namun, dia tetap menggesa Putrajaya supaya mensubsidi harga atau memberikan pelitup muka secara percuma kepada anggota masyarakat yang miskin.

“Membayar RM1.20 setiap hari untuk membeli pelitup muka memang membebankan,” katanya.

“Bagi ramai orang ia mungkin merupakan kos sarapan pagi mereka. Oleh sebab memakai pelitup muka kini wajib, ramai yang akan menggunakannya semula untuk menjimatkan wang. Ini berbahaya.”

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa harga siling pelitup muka 3 lapis dikurangkan dari RM1.20 ke RM1 sekeping.

Tambahnya, Putrajaya juga akan terus mengurangkan harganya dari semasa ke semasa.

Lihat Komen
ADS