Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian kaji turunkan harga pelitup muka bawah RM1

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi tidak menolak kemungkinan harga pelitup muka boleh turun sehingga RM0.80 sen sekeping.

Beliau berkata bagaimanapun bermula 15 Ogos ini harga pelitup muka perubatan tiga lapisan akan dijual pada harga RM1.

"Kementerian lihat kemungkinan turun lagi, kita lihat keberadaannya, kalau boleh balik kepada had RM0.80 sen atau kurang lagi, kalau boleh.

"Bagaimanapun pada 15 Ogos nanti pelitup muka tiga lapisan yang mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dijual pada harga RM1.

"Itu harga yang kita tetapkan, peruncit nak jual murah lagi tidak mengapa," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Dua hari lepas di Dewan Rakyat, Alexander memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapis kepada RM1 seunit.

Beliau berkata KPDNHEP bersedia untuk menurunkan lagi harga siling pelitup muka dari semasa ke semasa bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai, 1 Ogos lalu.

“Saya ingin memaklumkan harga tiga lapis pelitup muka akan diturunkan lagi kepada RM1 seunit di peringkat runcit. Maknanya 95 sen di peringkat borong. Usaha ini diharapkan membantu mengurangkan beban orang ramai dan ibu bapa menyediakan pelitup muka buat anak.

“Kementerian juga bersedia untuk menurunkan lagi harga siling ke paras yang lebih rendah dari semasa ke semasa. Langkah ini akan dilakukan secara berterusan. RM1 satu unit tidak akan berakhir di situ sahaja kerana kita akan tengok dan kaji lagi bersama pemegang taruh,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata barangan keperluan penting ketika Covid-19 itu dapat memenuhi kehendak pasaran ketika ini.

Jelasnya, pemantauan oleh pihak berkuasa akan dilakukan bagi memastikan peniaga mematuhi ketetapan yang telah dibuat.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi perintah ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS