Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Adakah ahli politik dilantik terajui GLC akan dedah penyelewengan?
Diterbitkan:  Aug 13, 2020 2:22 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada ahli politik yang dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) akan mendedahkan kesalahan kewangan atau menyiasat dakwaan penyelewengan yang didedahkan oleh pendahulu mereka ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Lim berkata demikian susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa pelantikan ahli politik ke badan berkanun dan GLC memberikan "semak dan imbang" dan bagi memastikan syarikat berkenaan beroperasi mengikut aspirasi kerajaan.

Zafrul juga mendakwa bahawa kerajaan PN hanya memilih ahli politik yang "sesuai dan wajar" berdasarkan kemampuan, kepakaran dan pengalaman mereka, antara lain, merujuk kepada syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

"Melantik ahli politik sebagai pengarah dan pengerusi GLC kerana ada 'kesesuaian dan kewajaran' dengan kepakaran, pengalaman, integriti, dan bertanggungjawab adalah tidak masuk akal, kerana ahli politik sudah pasti tidak lebih mahir atau berpengetahuan daripada golongan pakar atau profesional.

"Sudah diketahui umum bahawa ahli politik mempunyai keutamaan yang berbeza ketika mereka berada di GLC, dibandingkan dengan pengarah profesional dan pakar yang fokus pada peningkatan prestasi syarikat.

"GLC masih boleh digesa untuk mematuhi dasar kerajaan melalui arahan Menteri atau kehadiran pegawai kanan Kementerian yang dilantik sebagai pengarah.

"Justeru, tiada keperluan melantik ahli politik untuk memastikan bahawa dasar kerajaan dipatuhi," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mendakwa kerajaan PN menjadikan pelantikan ahli parlimen ke dalam GLC sebagai satu bentuk ganjaran politik untuk mengekalkan kekuasaan.

"Setakat ini, 17 lantikan sedemikian telah dibuat. Walaupun Ahli parlimen ini akan menikmati kelebihan dan keistimewaan jawatan di GLC, bagaimana pula lantikan mereka ini akan memberi manfaat kepada GLC?

"Adakah pengarah atau pengerusi GLC daripada ahli politik masih akan membongkar atau menyiasat banyak kesalahan kewangan yang didedahkan oleh pengarah professional GLC di bawah PH semasa 22 bulan sebelum ini?

"Adakah GLC dapat menumpukan perhatian untuk meningkatkan prestasi korporat GLC, untuk memastikan bahawa ia adalah penjaga dana awam yang boleh dipercayai dan boleh diharapkan yang melibatkan puluhan bilion Ringgit yang memberi faedah kepada rakyat?" katanya.

Selasa lalu, dilaporkan bahawa Tengku Zafrul, dalam jawapan Parlimen, menyatakan bahawa 15 ahli politik termasuk ahli parlimen, anggota dewan undangan negeri, senator dan anggota parti telah dilantik dalam syarikat MOF Inc sementara "hanya dua" ahli politik dilantik ke badan berkanun yang diletakkan di bawahnya kementerian.

Kerajaan PN dikritik susulan pelantikan politik yang dibuat sejak mengambil alih kerajaan pada bulan Mac, susulan tindakan sekumpulan wakil rakyat beralih sokongan.

Bagaimanapun, pemimpin PN telah berulang kali mendakwa langkah itu adalah untuk memastikan GLC dan badan kerajaan melaksanakan agenda kerajaan.

Sebilangan besar jawatan itu diisi oleh teknokrat pada masa lalu.

Bulan lalu, Tengku Zafrul mendakwa bahawa Suruhanjaya Sekuriti akan menilai calon yang disenarai pendek untuk lembaga syarikat MOF Inc sementara yang lain akan diperiksa oleh pelbagai agensi seperti SPRM, Jabatan Insolvensi dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum mereka dilantik.

Lihat Komen
ADS