Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hina PDRM, ATM: Polis buka dua kertas siasatan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung dua video wawancara melibatkan pemilik Hot Burger, Mohd Asri Hamid yang juga dikenali sebagai Asri Janggut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata dua video itu ialah wawancara di Facebook Sinar Harian yang bertajuk Isu Judi: Fitnah atau Realiti yang berdurasi 1.14 jam dan wawancara bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang berdurasi 50.53 minit.

Katanya kedua-dua video berkenaan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kerana mempunyai unsur jelik serta penghinaan terhadap pihak berkuasa.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti kesemua saksi yang akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Individu yang diwawancara, penganjur wacana atau wawancara serta mereka yang lain di sebalik penghasilan video-video itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat,” katanya.

Huzir berkata tindakan yang dilaksanakan itu adalah berlandaskan undang-undang dan tiada individu atau entiti yang akan terlepas jika jelas mereka mencabuli undang-undang yang berkuat kuasa di negara.

Huzir Mohamed

“PDRM menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni, pepecahan, perasaan permusuhan dan boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Semalam dilaporkan polis akan mengambil keterangan Mohd Asri, 42, dalam minggu ini selepas video yang memaparkan beliau memberi kenyataan bersifat menghina PDRM dan ATM tular menerusi laman sosial.

Peniaga burger itu menjadi perhatian masyarakat selepas mendedahkan kegiatan perjudian dan perniagaan yang dijalankan warga asing di Sungi Buloh yang didakwanya dilindungi pihak berkuasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS