Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 15 kes baru, satu lagi kluster baru di Kedah
Diterbitkan:  Aug 13, 2020 6:09 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

KORONAVIRUS | Malaysia merekodkan 15 lagi kes baru Covid-19 setakat tengah hari tadi dengan satu lagi kluster baru dikenal pasti.

Menurut Kementerian Kesihatan, daripada 11 kes penularan dalam negara, sebanyak 10 kes melibatkan warganegara, manakala sembilan kes lagi dikesan  daripada kluster "Tawar" di Kedah.

Satu kes lagi dikesan membabitkan seorang rakyat Malaysia yang menjalani saringan prapembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, satu kes jangkitan tempatan direkodkan membabitkan seorang warga asing yang disaring sebelum bertolak ke luar negara.

Selain itu, empat kes import Covid-19 direkodkan dengan tiga kes melibatkan warganegara Malaysia yang kembali dari Indonesia dan satu kes melibatkan rakyat Malaysia yang kembali dari Yaman.

Pada masa ini, seramai 183 orang masih dirawat dan dua daripadanya diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bagaimanapun tiada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Kluster Tawar

Kes pertama kluster Tawar merupakan pesakit ke- 9,113 yang merupakan warganegara Malaysia.

Dia menghadiri upacara keagamaan bagi memperingati kematian ahli keluarganya pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

Seramai 30 orang dilapor menghadiri upacara berkenaan.

Pesakit berkenaan mula mengalami sakit dada dan demam pada 8 Ogos sebelum mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan serta dikesan positif Covid-19 pada 11 Ogos.

Menurut Kementerian Kesihatan, kesemua kes dalam kluster ini merupakan ahli keluarga kepada pesakit berkenaan.

Setakat ini, 86 kontak telah disaring termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain kontak. 

Daripada jumlah itu seramai 56 orang masih menunggu keputusan ujian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa ujian pengesahan Covid-19 yang dilakukan ke atas seorang pelajar di Lembah Pantai mendapati pelajar berkenaan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Pelajar berkenaan menjalani ujian pengesahan sebanyak dua kali, manakala 54 individu yang merupakan kontak rapat kepada pelajar terbabit juga disahkan negatif Covid-19.

 

Lihat Komen
ADS