Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasangan suami isteri keluar kawasan Temco ditahan polis

Sepasang suami isteri yang keluar dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Kampung Ulu, Padang Sanai dekat Kuala Nerang, ditahan polis di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata pasangan berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang pada 5 Ogos lalu selepas pihaknya menerima laporan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap yang mendapati pasangan itu tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan.

“Pasangan ini menanggalkan gelang merah jambu dan putih sebelum keluar menerusi laluan tikus (menggunakan) motosikal dengan alasan untuk membeli barang.

“Polis kemudian bertindak menahan pasangan itu di rumah selepas mereka membatalkan hasrat ke Pekan Kuala Nerang dan hanya pergi separuh jalan.

“Saya mengingatkan penduduk agar tidak keluar ke kawasan lain bagi mengelak risiko penyebaran COVID-19,” katanya kepada pemberita di Kuala Nerang hari ini.

Mulkiaman berkata pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan kuasa kepada pegawai memerintahkan individu untuk diasingkan di rumah dan mematuhi segala perintah yang ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan mereka juga boleh berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Kertas siasatan kes ini sudah siap dan diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mulkiaman berkata polis telah melaksanakan empat sekatan jalan raya yang menghubungkan empat kampung di daerah itu iaitu Kampung Ulu, Kampung Kubang Palas, Kampung Seberang dan Kampung Chenderai bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.

“Polis sudah mengenal pasti laluan tikus di Kampung Ulu dan mengenali semua penduduk kampung berkenaan yang dianggarkan 300 orang membabitkan 50 rumah, sekali gus memudahkan kawalan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata sehingga semalam, seramai 378 individu telah disaring membabitkan 306 individu di Kampung Ulu, Padang Sanai dan 72 individu yang pernah berkunjung ke Kampung Ulu atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif.

- Bernama

Lihat Komen
ADS