Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini membenarkan permohonan dikemukakan Datuk Seri S Vell Paari bagi menangguhkan prosiding pendengaran permohonan perintah interim difailkan seorang wanita mengaku isteri bapanya, Tun S Samy Vellu.

Peguam RSN Rayer dan Ramesh Sivakumar yang mewakili Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hashim Hamzah, manakala Vell Paari diwakili peguam Datuk David Mathews.

Menurut Rayer, permohonan penangguhan dibuat oleh Vell Paari sementara menunggu keputusan saman yang difailkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2019 untuk mendapatkan perintah agar siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada Samy Vellu mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya atau sebaliknya.

"Selain itu, Meeriam juga membuat permohonan untuk mencelah sebagai pihak ketiga terhadap prosiding penilaian mental Samy Vellu," katanya.

Menurut Rayer, permohonan sebagai pencelah akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Sept depan dan apabila dibenarkan maka pihaknya boleh memanggil Samy Vellu sebagai saksi serta membuat pemeriksaan balas bagi menentukan tahap keupayaan mental bekas presiden MIC itu.

Meeriam yang mengaku berkahwin dengan Samy Vellu secara adat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 1981 memfailkan permohonan interim di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Mac tahun lepas bagi mendapatkan akses tanpa syarat ke atas Samy Vellu selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.

- Bernama