Seramai 104 penumpang terkandas selama hampir lapan jam di lapangan terbang susulan kekurangan kemudahan kuarantin apabila pesawat mereka yang mendarat di KLIA tiada dalam jadual asal.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata penghantaran individu-individu terbabit ke stesen kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar.

"Pihak urusetia (KLIA) telah mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel-hotel lain yang sedia ada.

"Pihak urusetia juga telah memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses tersebut.

"Kumpulan terakhir ditempatkan di Stesen Kuarantin pada jam 10 malam," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kata Ismail, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambahbaik penyelarasan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri yang bertindak sebagai sekretariat di peringkat negeri dalam aspek pengurusan Stesen Kuarantin.

Awal hari ini, Sin Chew Daily melaporkan ramai penumpang terkandas di KLIA selama berjam-jam semalam kerana pusat kuarantin tidak mencukupi.

Tan, seorang penduduk tetap Malaysia yang tiba di lapangan terbang pada jam 1 tengah hari, diberitahu untuk menunggu di lapangan terbang kerana pusat kuarantin penuh.

Bagaimanapun, dia mendakwa bahawa penumpang dari penerbangan lain juga menghadapi situasi yang serupa.

Mereka yang pulang dari luar negara pada awalnya dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib selama dua minggu di rumah.

Namun, berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini kerana ketidakpatuhan prosedur operasi standard dan perintah kuarantin rumah, kerajaan mewajibkan semula kuarantin di pusat-pusat yang ditentukan mulai 24 Julai.

Semalam, Ismail berkata warga asing yang dibenarkan memasuki Malaysia mesti membayar caj kuarantin dan ujian Covid-19 semasa ketibaan atau mereka boleh tinggal di lapangan terbang.

Kata Ismail, ini kerana terdapat individu yang enggan membayar kos setelah selesai kuarantin.