Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pencapaian 100 hari Azmin termasuk jadi 'ikon media'
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 5:06 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali memberitahu Dewan Rakyat mengenai sembilan pencapaiannya sejak memegang jawatan itu pada Mac lalu.

Salah satu pencapaian itu berbunyi: "Menjadi ikon Miti di kalangan media".

Pencapaian tersebut disenaraikan dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, yang bertanya mengenai prestasi Azmin selama dua tahun menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan 100 hari setelah mengambil alih portfolio barunya.

Azmin juga menyebut mengenai pencapaiannya dalam mengetuai usaha pengurusan pembukaan semula ekonomi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); memimpin Miti dalam mengetuai sesi libat urus bersama industri sepanjang PKP dan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk pengukuhan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Selain itu dia juga menyebut peranannya dalam mengetuai barisan hadapan ekonomi dalam pembukaan operasi sektor-sektor ekonomi; memimpin rundingan-rundingan hubungan ekonomi dua hala, serantau dan global serta menyokong transformasi syarikat tempatan ke arah pendigitalan dan penggunaan analisis data raya.

Azmin turut menyebut pencapaiannnya dalam memastikan usaha-usaha Miti bagi menyokong pemulihan ekonomi diterapkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Selain itu, Azmin juga menyebut mengenai peranannya dalam menetapkan hala tuju dan pelaksanaan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12.

Pencapaian lain yang disebut termasuk peruntukan berbilion-bilion ringgit untuk pembangunan luar bandar atau negeri-negeri yang kurang maju.

Mengenai sumbangannya terhadap industri pertanian, Azmin berkata dia telah membentangkan Kertas Putih Felda pada 10 April lalu.

Selain itu, Azmin juga menyebut mengenai peranannya dalam pengagihan keuntungan 2019 yang lebih tinggi bagi Felcra Berhad. 

ADS