Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 20 kes baru termasuk 11 kes libat dua kluster di Kedah
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 5:59 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

KORONAVIRUS | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 20 lagi kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan setakat tengah hari tadi, membabitkan 13 penularan dalam negara dan tujuh kes import.

Selain itu, Ketua Pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan satu lagi kluster baru dikesan iaitu kluster Muda di Kedah.

Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 196 kes dan jumlah keseluruhan sebanyak 9,149 kes.

Daripada 13 kes penularan dalam negara, 11 adalah daripada kluster Tawar, satu kes daripada kluster Muda dan satu lagi merupakan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

Satu lagi kes merupakan saringan kluster Tawar yang mempunyai kontak rapat kepada kes ke-9149 dan mempunyai sejarah melawat pesakit ke-9113 dan pesakit ke-9129 di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.

Noor Hisham juga memaklumkan kes ke-9129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang daripada sebuah pusat perubatan swasta, namun kekal didaftarkan sebagai kes di negeri Kedah. 

Katanya, setakat tengah hari tadi, seramai 261 orang telah disaring dalam kluster berkenaan membabitkan 156 di Kedah dan 105 lagi di Pulau Pinang.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 21 kes dikesan positif Covid-19.

"Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu tujuh kes lagi merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan enam warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara. 

Mereka memasuki negara ini dari Lubnan, Indonesia, Perancis, Yaman dan Taiwan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak tujuh kes telah pulih dengan jumlah kumulatif adalah sebanyak 8,828 kes.

Seramai empat pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian  dilaporkan hari ini dengan jumlah kematian kekal sebanyak 125 kes.

Lihat Komen
ADS