Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin dijadual turun ke Johor
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 7:13 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan melawat negeri kelahirannya di Johor hujung minggu ini, di tengah-tengah tindakan segelintir pimpinan akar umbinya keluar daripada Bersatu.

Sekurang-kurangnya satu bahagian Bersatu di Johor, terbubar selepas pimpinannya keluar parti untuk menyertai parti yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad. 

Dikatakan lebih ramai akan mengikut jejak langkah berkenaan.

Menurut jadual yang dikeluarkan oleh pejabatnya, Muhyiddin akan berada di Johor Bahru pada Sabtu untuk bertemu penjawat awam, menghadiri sambutan Hari Belia Negara dan beramah mesra dengan orang ramai.

Sementara itu, surat pekeliling yang dikatakan dari Umno, menyatakan bahawa presiden Bersatu itu akan bertemu pemimpin Perikatan Nasional pada malam Sabtu.

Pekeliling tersebut dikongsi di media sosial.

Malaysiakini sedang berusaha untuk menyemak kesahihan pekeliling berkenaan.

Muhyiddin kemudian dijadual akan ke Desaru pada Ahad bagi menghadiri satu mesyuarat.

Pada Selasa lalu, Bersatu bahagian Kota Tinggi terbubar setelah anggota jawatankuasanya bersama 8 cawangan keluar parti untuk menyokong Mahathir.

Mahathir berhasrat menubuhkan parti baru berasaskan Melayu untuk menentang Bersatu, Umno dan PAS.

Parti itu belum mempunyai nama dan tidak akan berpihak kepada Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional.

Anggota Parlimen Sri Gading, Shahruddin Salleh, yang juga bekas orang kuat Muhyiddin, sebelum ini berkata dia percaya sehingga 70 peratus anggota akar umbi Bersatu di Johor akan keluar parti.

Seorang Adun dari Bersatu juga memberitahu Malaysiakini bahawa minat yang ditunjukkan di kalangan akar umbi parti itu untuk menyertai parti Mahathir juga adalah "cukup jelas".

Semasa krisis politik  "Langkah Sheraton", 19 daripada 26 bahagian Bersatu di Johor menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir selepas Muhyiddin dilaporkan melakukan rampasan kuasa di negeri itu.

Tidak jelas apakah kesetiaan tersebut akan berterusan dengan pengerusi Bersatu, Johor Mazlan Bujang yang sebelum ini memihak kepada Mahathir, kini bersama kerajaan negeri yang dikuasai PN.

Mazlan dan Adun Bersatu yang lain menolak kemungkinan mereka akan melompat parti atau akan berlaku pemberontakan dalam bahagian-bahagian parti itu di Johor .

Lihat Komen
ADS