Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu akan keluarkan senarai nama 288 individu gugur keahlian
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 11:54 PM
Dikemaskini: 3:54 PM

Bersatu akan mengeluarkan senarai nama kira-kira 288 individu yang keanggotaannya diberhentikan serta-merta kerana terlibat dalam kumpulan 'blackout' yang didakwa bertujuan menjatuhkan parti serta menyokong bekas pengerusi, Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dilapor berkata, senarai nama tersebut akan dikeluarkan kepada pihak media, ketua bahagian parti dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu esok.

"Seperti yang saya pernah jawab baru-baru ini, kita telah pun menyiasat segala apa aduan yang telah diberikan kepada kita dan hari ini akan saya berikan notis kepada semua bahawa ada lebih kurang 288 yang telah kita ambil tindakan dan gugur daripada menjadi ahli parti Bersatu kita.

"Saya dah maklumkan ke beberapa media dan kita akan keluarkan ke beberapa media senarai mereka itu dan insya-Allah esok akan keluar notis melalui surat khabar kepada bahagian-bahagian.

"Kita juga akan berikan nama tersebut supaya kalau ada yang menjadi wakil, dia tidak boleh hadir dalam mesyuarat perwakilan bahagian dan begitu juga kepada JPP supaya JPP akan dapat menentukan sama ada mereka boleh hadir ataupun bertanding dan JPP boleh potong nama mereka dari senarai calon-calon yang bertanding," katanya dipetik Astro Awani.

Portal itu melaporkan bahawa Hamzah, yang juga menteri dalam negeri, berkata demikian Majlis Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah di Putrajaya.

Dia juga dilaporkan memberitahu wartawan bahawa Bersatu telah menerima lebih 30,000 permohonan keahlian baru dalam tempoh dua minggu.

Bersatu kini sedang bergelut dalam menetukan arah dan masa depan parti itu, selain pemilihan parti itu akan datang.

Mahathir, yang menentang tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan BN dan parti lain bagi membentuk Perikatan Nasional, telah dilucutkan keanggotaannya dari Bersatu dan menubuhkan parti baru yang diberi nama Pejuang.

Sebahagian anggota Bersatu menyatakan hasrat mereka untuk keluar daripada parti itu dan menyertai parti baru yang diasaskan Mahathir.

Lihat Komen
ADS