Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Kalau simpati pada saya, tunjuklah dalam PRK ini

PRK SLIM | Bekas Perdana Menteri Najib Razak hari ini meminta pengundi menunjukkan rasa simpati mereka kepada dia dengan memenangkan calon BN, Mohd Zaidi Aziz.

Berucap di hadapan hampir 500 pengundi dan penyokogn BN dalam ceramah sulung gabungan itu di Felda Gunung Besout 1 hari ini, Najib juga memberitahu bahawa PRK kali ini merupakan pembuka tirai kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Zaman PH, dahlah kita dituduh macam-macam... Saya dituduh pencuri. Tapi, setakat ini di mahkamah baru disabit satu kes RM42 juta.

"Itu pun 99 peratus saya belanja dana untuk kebajikan dan kerja amal politik. Ini terbukti di mahkamah.

"Saya belanja 99 peratus dana (daripada RM42 juta itu) bagi pada Umno, BN, rumah penyayang anak yatim dan tahfiz. Pun saya didenda. Mana patut?" katanya.

Menurut Najib - yang disabitkan tujuh kesalahan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram oleh mahkamah itu - demi kebenaran dia sanggup bersumpah dalam mahkamah bahawa dia tidak meminta atau ditawarkan dana berkenaan.

"Jadi tuan-tuan fikirlah sendiri. Kalau simpati pada saya, tunjuklah dalam PRK ini bahawa BN ada di pihak yang benar dan kita nak betulkan keadan dalam negara ini," katanya.

Untuk rekod, pada 28 Julai lalu Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd yang sebelum ini menjadi anak syarikat 1MDB.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Najib berikrar untuk membuat rayuan atas sabitan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Kembali ke zaman BN

Sementara itu, dalam ucapan hari ini juga Najib dilihat cuba mengelak daripada menyentuh isu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

Sebaliknya, pengerusi Lembaga Penasihat BN itu lebih gemar menyenaraikan kejayaan kerajaan BN dan kekuatan Muafakat Nasional (MN) iaitu sebuah kerjasama politik secara rasmi di antara Umno dan PAS.

"Kenapa PRK ini penting? Ia persediaan dan pembuka tirai kepada PRU akan datang.

"Kita bagi isyarat (kemenangan calon BN) bahawa masa sudah tiba kita mengembalikan kepada orang yang tahu mentadbirkan negara kita. Kembali zaman BN.

"Kita nak betulkan keadaan dalam negara ini. BN dan Muafakat Nasional," katanya tanpa menyebut apa-apa mengenai Bersatu atau kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Hal itu sekali gus menimbulkan soalan apakah Umno akan meninggalkan kerjasama mereka dengan dengan Bersatu apabila parlimen dibubarkan.

Terdahulu pagi tadi, Muhyiddin berkata bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memberi persetujuan untuk memohon menyertai MN.

Jangan jadikan melukut tepi gantang

Dalam rakaman ucapan yang ditujukan buat ahli Bersatu, Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk parti berkenaan.

Tengah hari tadi tadi pula Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mencabar Pemuda Bersatu (Armada) membuktikan keupayaan mereka membawa undi memenangkan BN pada PRK ini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan Bersatu, sekiranya parti itu gagal menarik 6,000 undi kepada BN kali ini, maka BN patut menyoal nilai kerjasama dengan Bersatu.

"Kalau tidak dapat 8,000 atau 6,000 undi, kita harus tanya, apa nilai perkongsian politik dengan mereka.

"Betul kita ada dalam kerajaan, tapi jangan jadikan kita sebagai melukut di tepi gantang," kata Zahid.

PRK Slim menyaksikan calon BN Mohd Zaidi Aziz dari Umno dicabar dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi - yang disokong kumpulan Dr Mahathir Mohamad dan parti Pejuang Tanah Air - serta Santharasekaran Subramania.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai, akibat serangan jantung.

Ia akan diadakan pada 29 Ogos dengan pengundian awal pada 25 Ogos.

Slim mempunyai 23,094 pengundi berdaftar, yang kebanyakannya terdiri daripada pengundi Melayu sebanyak 75 peratus, diikuti India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus). 

Lihat Komen
ADS