Zaid: Umno perlu bersikap lebih terbuka
Umno diminta bersikap lebih terbuka terutamanya dalam membincangkan perkara-perkara penting dan sensitif seperti isu kaum dan agama.
Umno diminta bersikap lebih terbuka terutamanya dalam membincangkan perkara-perkara penting dan sensitif seperti isu kaum dan agama.
Tokoh Umno, Datuk Zaid Ibrahim berkata, parti itu perlu bersedia membawa isu-isu penting ke dalam masyarakat kerana Umno kini bukan sekadar komponen utama Barisan Nasional (BN) malahan satu kuasa besar dalam kerajaan.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, kerajaan juga perlu bersikap lebih terbuka dalam membincangkan isu-isu berkenaan bagi menamatkan diskriminasi.
Zaid bercakap di majlis ceramah isu-isu semasa anjuran Persatuan Perunding Perhubungan Awam Malaysia (PRCAM) di ibu negara malam semalam. Dalam ceramah selama dua jam itu Zaid menyentuh pelbagai perkara termasuk isu hubungan kaum, agama, kebebasan media dan situasi terkini politik negara.
Beliau berkata, kerajaan perlu menilai semula pelaksanaan beberapa dasar berkaitan kontrak sosial termasuk Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak-hak istimewa kepada orang Melayu dan pribumi lain.
Zaid berpendapat keengganan membincangkan isu-isu kaum dan agama adalah penyakit yang dihidapi oleh semua komponen BN sekarang.
"Kita melaung-laungkan demokrasi, kononnya semua orang dilayan sama rata tetapi sehingga kini kita masih takut untuk bersuara secara terbuka," tambahnya.
Menurut Zaid, keengganan membincangkan secara terbuka isu-isu ini akhirnya akan menimbulkan rasa takut di kalangan masyarakat.
Menyentuh soal kebebasan media pula, ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, sebuah negara maju memerlukan media yang terbuka dan penyebaran maklumat yang bebas.
"Bagaimanapun adalah sukar bagi orang politik negara ini untuk membebaskan media dari kawalan mereka kerana para menteri kita sudah biasa memiliki terlalu banyak kuasa. BN mesti mula belajar menyesuaikan diri dengan dunia baru," ujarnya.
Mengenai perkembangan politik semasa, Zaid menyuarakan sokongnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walaupun ada kalangan ahli Umno menganggap Abdullah lemah.
"Datuk Seri Abdullah adalah pemimpin terbaik kita. Tindakannya mungkin perlahan sedikit tetapi beliau tetap menjalankan tanggungjawabnya," tambah Zaid.
Ditanya mengenai krisis antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Abdullah, Zaid berkata; " Saya tidak tahu apa-apa. Saya tidak mempunyai maklumat dalaman." Berita lanjut

