mk-logo
Berita
PAS tangguh majlis kepulangan 'tokoh Amanah' lepas live kerusi kosong hampir sejam
Diterbitkan:  Aug 19, 2020 4:08 AM
Dikemaskini: 4:29 AM

Sidang media yang dikatakan bagi mengumumkan penyertaan "tokoh" dari parti Amanah kembali kepada PAS ditangguhkan selepas hampir sejam siaran langsung (live) majlis itu hanya memaparkan kerusi kosong.

Dalam kenyataan medianya, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Roslan Shahrir Mohd Shahrir berkata majlis penyerahan borang itu ditangguhkan "atas sebab yang tidak dapat dielakkan".

“Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan majlis penyerahan borang ahli PAS dari bekas aktivis parti Amanah pagi ini terpaksa ditangguh.

“Namun demikian, PAS Selangor terus mengalu-alukan sebarang hasrat mana-mana ahli parti berkenaan yang ingin bersama atau kembali ke pangkuan PAS,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Roslan beberapa minit selepas siaran langsung itu berakhir.

Facebook TV PAS Selangor pagi tadi bersiaran langsung dengan keterangan “TERGEMPAR!!! Majlis Pengisytiharan Tokoh Parti Amanah Negara kembali menyertai PAS”.

Bagaimanapun, selepas 52 minit, siaran langsung itu tamat dengan hanya memaparkan latar set meja dan kerusi kosong, lengkap dengan mikrofon, seperti yang biasa dilihat pada sesebuah sidang media.

Turut kelihatan gegantung tertera perkataan "Badan Perhubungan PAS Selangor".


 

Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi memberitahu bahawa seorang pemimpin Amanah dari Selangor dijangka akan kembali menyertai PAS hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Yunus berkata dia tidak dapat mendedahkan identiti pemimpin tersebut.

Untuk rekod, Amanah yang juga parti serpihan PAS ditubuhkan pada Ogos 2015 dengan mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

Amanah digerakkan oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu sebagai presiden parti bersama kumpulan profesional dari PAS.

Amanah terbentuk selepas kumpulan profesional tidak sehaluan dengan kumpulan ulama susulan keputusan PAS membatalkan kerjasama politik dengan DAP yang membawa terkuburnya Pakatan Rakyat.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini