Seorang lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan eksploitasi seks terhadap isteri dan anaknya antara 2015 hingga tahun ini, menukar pengakuannya di Mahkamah Sesyen di Klang, hari ini.

Tertuduh berumur 43 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibaca semula oleh jurubahasa mahkamah, di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut pertuduhan itu, bapa kepada empat anak tersebut didakwa melakukan eksploitasi seks dengan menggunakan paksaan terhadap isteri dan kanak-kanak, yang masing-masing berusia 36 dan 13 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ekploitasi seks terhadap isterinya di satu unit kondominium dan di kawasan loji air di Batu 9, Cheras, antara Januari 2015 hingga Mei 2019.

Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan eksploitasi seks terhadap kanak-kanak terbabit di unit kondominium yang sama di Batu 9 Cheras, di antara Januari 2019 hingga Februari tahun ini.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 13(b) dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Peguam yang mewakili tertuduh, Gabriel Susayan berkata, anak guamnya menukar pengakuan berikutan sebelum ini dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dan hukuman yang akan dikenakan ke atasnya, sekiranya dia mengaku bersalah.

“Sebelum ini tertuduh tidak berpeluang untuk melantik peguam, dan mengikut Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan, tertuduh mempunyai hak untuk mendapatkan peguam.

“... dan kita menawarkan bantuan guaman secara percuma kepada tertuduh. Kita akan sedaya upaya bertindak untuk mengendalikan kes berkenaan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Safarizal Zakaria, memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi pengurusan kes tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Sept untuk pengurusan kes.

- Bernama