Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata isu pembatalan pembinaan Jambatan Indah untuk menggantikan Tambak Johor tidak membawa kepentingan kepada masyarakat Melayu dan negara.

"Banyak lagi agenda lain yang perlu dilakukan. Kita rayu kepada Tun sebagai seorang pemimpin Umno, kalau ada soal peribadi, selesaikanlah secara peribadi," kata beliau yang juga Menteri Luar.

"Kalau nak kritik tak apa, tapi dengan cara ini, ia tidak akan menguntungkan sesiapa kecuali orang yang nak ambil kesempatan," tambahnya.

Katanya, sebuah buku khas akan diterbit dan diedar oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) diharap akan dapat mengelak isu-isu yang dibangkitkan Dr Mahathir daripada terus berpanjangan.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata buku tersebut memuatkan penjelasan kepada isu pembatalakan pembinaan Jambatan Indah menggantikan tambak Johor dan isu-isu lain yang ditimbulkan bekas perdana menteri itu.

Keputusan politik

Menurutnya, penjelasan tersebut lengkap dengan dokumen yang sudah diklasifikasikan sebagai tidak lagi rahsia seperti yang diumumkan semalam, sebagai jawapan kepada segala dakwaan yang dibangkitkan selama ini.

"Kerajaan amat berharap isu ini tidak berpanjangan. Buku khas itu akan menerangkan secara terperinci segala proses yang diambil kerajaan, termasuk nasihat perundangan sebelum membuat keputusan membatalkan pembinaan jambatan tersebut.

"Walaupun tidak mudah untuk mengklasifikasikan semula dokumen yang rasmi sebagai tidak lagi rahsia untuk tatapan awam, kita lakukan juga untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang berlaku dalam isu ini dan supaya orang tahu bahawa kerajaan mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat sesuatu keputusan politik," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Penerangan Isu-Isu Semasa anjuran Umno Bahagian Kota Bharu semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan pemangku Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Syed Hamid yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata antara kandungan yang paling penting dalam buku khas itu ialah fakta yang menjelaskan sama ada Singapura ada memberikan persetujuan atau tidak terhadap pembinaan jambatan berkenaan.

Katanya, ini kerana persetujuan negara jiran itu adalah `kunci utama' dalam pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang berusia 80 tahun itu, kerana tanpa persetujuan Singapura, jambatan itu tidak boleh dibina sama sekali, malah jika diteruskan ia mungkin akan jadi projek gajah putih.