Penerbangan Malaysia (MAS) mengumumkan penggantungan serta-merta penerbangan pergi-balik ke Beirut kerana lapangan terbang negara telah ditutup berikutan serangan tentera Israel.

MAS mengadakan penerbangan pergi-balik tiga kali seminggu ke Beirut dengan pesawat Airbus A330 melalui Dubai. Untuk sementara waktu, penerbangan MAS telah diubah kepada Kuala Lumpur-Dubai-Kuala Lumpur sehingga diberitahu kelak.

"Penerbangan Malaysia akan menyambung semula penerbangannya ke ibu negara Lebanon itu apabila lapangan terbangnya dibuka semula," kata MAS dalam kenyataan.

Sekatan udara dan darat

Berikutan itu, katanya, waktu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai tidak diubahsuai dan juga sedang menyemak semula operasi keseluruhannya bagi laluan tersebut.

Lapangan Terbang Beirut ditutup sejak awal Khamis lalu selepas terkena bedilan tentera Israel yang melancarkan serangan terhadap Lebanon.

Israel telah mengenakan sekatan laluan darat dan udara ke Lebanon dan juga membedil lebuhraya utama antara Beirut dan Damsyik, sekaligus memutuskan hubungan wilayah utara negara jirannya itu daripada dunia luar.

Serangan tentera Israel itu telah mengorbankan sekurang-kurang 60 orang awam sebagai tindakan balas terhadap penawanan dua tentera Israel oleh kumpulan Hezbollah Rabu lalu.

- AFP