PKR kutuk pencerobohan tentera Israel di Lebanon
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk tindakan serangan tentera Israel ke atas Lebanon dan menyifatkan rejim Zionis itu sebagai terlalu angkuh, kejam dan pendendam, dalam melancarkan serangan ketenteraan sehingga lebih 60 orang, kebanyakkannya orang awam, terbunuh.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk tindakan serangan tentera Israel ke atas Lebanon dan menyifatkan rejim Zionis itu sebagai terlalu angkuh, kejam dan pendendam, dalam melancarkan serangan ketenteraan sehingga lebih 60 orang, kebanyakkannya orang awam, terbunuh.
Berikutan serangan Israel ke atas orang yang tidak berdosa dan mensasarkan orang awam, parti itu menyeru komuniti antarabangsa untuk bertindak bagi menghentikan konflik tersebut.
Selain itu, parti itu juga mahukan tindakan segera Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab dan adil.
Ketua penerangan parti itu Tian Chua berkata tindakan ganas Israel jelas merupakan satu pencabulan undang-undang antarabangsa.
"Operasi kententeraan oleh Israel telah menyebabkan ketidakstabilan rantau berkenaan dan juga dunia. Provokasi sesuka hati dan tidak berperikemanusiaan akan mengundang lebih banyak keganasan.
"Keadaan bergolak meletakkan dunia menjurus kepada risiko keganasan. Keganasan negara Israel memberi ancaman kepada keselamatan global," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan Bernama, Tel Aviv melancarkan serangan itu sejak Rabu lalu, sebagai membalas tindakan gerila Hizbullah menawan dua tentera Israel dan membunuh lapan lagi tentera.
Regim itu juga mengenakan sekatan udara, laut dan darat kepada Lebanon dan melancarkan serangan udara di jalan-jalan, jambatan dan lapangan terbang yang membunuh kira-kira 66 orang, hampir kesemuanya orang awam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.