Jadi pelarian di tempat sendiri
Penduduk Kampung Puah Seberang di Sentul terpaksa mendapatkan bekalan air dan elektrik secara haram selepas rumah mereka dirobohkan untuk pembinaan projek Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang.
Penduduk Kampung Puah Seberang di Sentul terpaksa mendapatkan bekalan air dan elektrik secara haram selepas rumah mereka dirobohkan untuk pembinaan projek Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang.
Di kawasan tersebut kini terdapat kemah-kemah sementara yang didirikan daripada kayu dan kanvas dan lain-lain bahan yang terdapat di situ selepas rumah mereka dirobohkan pada 31 Mei lalu.
"Kami tinggal seperti orang pelarian di tanahair kami sendiri," kata Ahmad Daud Mohd Ali (kanan), yang bercakap bagi pihak keluarga 40 lagi yang turut terbabit.
"Sejurus selepas rumah-rumah dirobohkan, berlaku petir yang mengakibatkan banyak harta, buku dan peralatan elektrik musnah," kata Daud, sambil menambah, beberapa kanak-kanak tidak dapat ke sekolah kerana uniform dan buku mereka turut musnah dalam kejadian tersebut.
'Tidak akan berganjak'
Sepertimana 50 keluarga lain di kawasan itu, Daud sepatutnya menerima bayaran RM8,000 dan hak untuk membeli flat kos rendah sebagai gantirugi. Katanya, beliau mempunyai dokumen sebagai bukti, tetapi sehingga ini, beliau belum menerima apa-apa.
Berikutan itu, bapa kepada tiga orang anak itu mendakwa beliau dan penduduk yang lain, telah menemui orang politik, Dewan Bandaraya, Badan Pencegah Rasuah (BPR), malah turut menghantar surat kepada Perdana Menteri, tetapi tiada barang hasil.
Berikutan itu, mereka bercadang untuk terus berkemah di kawasan bekas tapak rumah masing-masing.
"Walaupun jika kami terpaksa tinggal atas rakit di sungai atau di bawah jambatan, kami tetap tidak akan berganjak. Kami akan menetap di sini hingga mati," kata Daud, seorang ahli motivasi yang telah tinggal di kawasan itu sejak 11 tahun lalu.
Kampung tersebut terletak di kawasan tanah rezab Melayu kira-kira 10km di utara Kuala Lumpur dan telah dibersihkan untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang.
Dasar sifar setinggan
Dan semalam, penduduk terbabit beralih kepada ahli Parlimen tunggal Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah untuk mendapatkan bantuan.
Beliau melawat mereka semalam untuk menghulurkan bantuan makanan dan berjanji untuk membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.
Azizah berkata, beliau amat sedih melihat orang yang tidak berdosa menjadi mangsa atas nama pembangunan.
Turut mengiringi Azizah ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua yang menyifatkan mereka menjadi mangsa kepada dasar sifar setinggan, yang menurutnyam, tidak mengambilkira keperluan golongan yang kurang bernasib baik.

