Apakah kawasan tanah tinggi di Cameron Highlands or Genting Highland tidak cukup sejuk untuk membolehkan para atlit membiasakan diri dengan cuaca sejuk di luar negara?

Persoalan itu dibangkitkan Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy berhubung cadangan kerajaan untuk membina akademi sukan di London yang dilapor membabitkan kos RM490 juta.

Memandangkan kerajaan sendiri meminta rakyat mengubah gayahidup mereka ekoran kenaikan harga minyak dan elektrik, Paranjothy berkata, tidak ada sebab mengapa kompleks seumpama itu tidak boleh dibina di Malaysia.

"Pembinaan kompleks sukan di London itu membabitkan kos hampir setengah bilion ringgit... bukankah lebih berfaedah menggunakan wang tersebut untuk mensubsidi harga petrol demi kebaikan rakyat?" katanya dalam satu kenyataan.

Tetapi, seandainya kerajaan masih bertegas untuk membina akademi sukan itu di luar negeri, maka beliau mencadangkan Australia yang telah terbukti rekod kejayaannya dalam bidang sukan kerana ia mungkin lebih murah dan merupakan alternatif yang lebih berdaya maju.

Fikir semasak-masaknya

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam (foto) merasakan cadangan pembinaan kompleks sukan tersebut perlu dibincangkan semasak-masaknya.

"Memandang ianya masih di peringkat awal, tindakan boleh diambil untuk membatalkannya dan menimbang semula aspek dayamaju projek berkenaan [...] Tidak perlu tergesa-gesa," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk menilai terlebih dahulu sama ada terdapat penyelesaian yang lebih murah berhubung perkara tersebut.

Sekiranya pihak kerajaan masih mahu meneruskan cadangan pembinaan kompleks sukan tersebut, maka katanya, kerajaan bertanggungjawab untuk meyakinkan ahli-ahli Parlimen dan rakyat mengenai justifikasi keputusannya itu.

Buat masa ini, kata Wee, beliau menyokong sentimen rakan-rakan ahli Parlimennya yang menentang cadangan tersebut. Terjemahan