Presiden Mubarak M'sia meninggal dunia
Pengasas dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abdul Razak Alias, 68, meninggal dunia hari ini, dipercayai akibat serangan jantung selepas jatuh di bilik air kawasan tol Tangkak.
Pengasas dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abdul Razak Alias, 68, meninggal dunia hari ini, dipercayai akibat serangan jantung selepas jatuh di bilik air kawasan tol Tangkak.
Anak keduanya, Mohd Rizal, 40, berkata bapanya meninggal dunia kira-kira jam 11.15 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Tangkak.
"Kami sekeluarga dalam perjalanan ke rumah seorang rakan allahyarham di Bukit Gambir, Muar, dan telah singgah di kawasan rehat tol itu untuk pergi ke bilik air, dan bapa saya jatuh di bilik air dipercayai akibat serangan jantung," katanya kepada pemberita di rumahnya di Simpang Empat, Alor Gajah.
Abdul Razak dan isterinya Puan Sri Hamizah Abdul Aziz, 59, serta anggota keluarga lain termasuk Mohd Rizal, berlepas dari rumah mereka di Simpang Empat pada jam 10 pagi dengan dua buah kereta.
Menurut laporan Bernama, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Empat petang ini.
Bekas Speaker
Antara yang menziarahi jenazah ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohamed Ali Rustam dan beberapa anggota exco kerajaan Melaka.
Abdul Razak merupakan bekas anggota Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Taboh Naning dan pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat orang anak iaitu Mohd Rizal, Hamidah, 42, Hafiza, 32 dan Hanim, 28.
Pegawai Perhubungan Mubarak, Datuk Nordin Yaani, berkata walaupun Allahyarham kurang sihat akibat penyakit jantungnya, beliau telah menjelajah ke seluruh negara sebulan lalu untuk menemui anggota Mubarak.
"Sepatutnya petang ini saya dan Allahyarham pergi ke Kuala Lumpur menyambut kepulangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari Australia. Allah telah menentukan segala-galanya," kata Nordin yang merupakan bekas anggota Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Sungai Udang.

