Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua remaja lemas ketika mandi di Seberang Takir

Kegembiraan dua sahabat beriadah di Pantai Kampung Tanjung, Seberang Takir di Kuala Nerus pagi tadi berakhir dengan tragedi apabila mereka lemas ketika mandi di situ.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Yusmizan Yusof, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Muhammad Amirul Zulkafli, 15; dan Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan,16; yang pulang dari berjoging pergi ke pantai itu untuk mandi ketika air laut surut.

Namun katanya kedua-dua remaja terbabit mereka tidak menyedari air pasang secara tiba-tiba.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.37 pagi dan seramai 14 anggota dari BBP Kuala Nerus dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Terengganu digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Yusmizan, mayat kedua-dua remaja itu ditemukan pada jam 9 pagi di lokasi mereka mandi kira-kira 50 meter dari pantai.

Katanya kedua-dua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi tindakan lanjut.

Sementara itu di Kemanan, Othman Said, 79, yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebunnya di Pasir Manggang pada Rabu lepas ditemukan lemas di Sungai Kemaman pada jam 7.39 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut di sebatang kayu di sungai itu.

"Mangsa dikatakan menaiki sampan menyeberang sungai untuk pulang ke rumahnya selepas membersihkan kebun.

"Bagaimanapun sampan tersebut dipercayai terbalik ekoran arus sungai yang deras dan mangsa dipercayai lemas,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS