Adun Padungan Wong King Wei berharap Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tidak mengambil tindakan terhadap Pemuda DAP Sarawak susulan tindakan menampal tulisan Cina pada tiga papan tanda jalan di Kuching, Sarawak.

Menurut Wong, ini kerana tindakan sekumpulan anggota Pemuda DAP itu tanpa niat yang tidak baik.

"Walaupun saya tidak menyokong apa yang telah dilakukan mereka, saya juga tidak setuju dengan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) Dr Abdul Rahman Junaidi, yang mengatakan bahawa ia adalah tindakan vandalisme," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekumpulan anggota Pemuda DAP Sarawak menampal pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya itu atas dasar ia perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan itu, yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin Julian Tan, tular di media sosial dan mengundang kritikan warganet.

Semalam, Bernama melaporkan Abdul Rahman Junaidi berkata perbuatan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Abdul Rahman berkata, tindakan itu juga dianggap sebagai vandalisme dan melanggar peraturan DBKU kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Wong yang merupakan bekas anggota DAP boleh mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan, menghantar petisyen ataupun menulis surat kepada pihak berwajib terlebih dahulu berhubung pandangan mereka.

Dia juga berkata dengan mengambil kira Sarawak sebagai negeri yang berbilang kaum dan budaya, lebih baik untuk Pemuda DAP negeri itu untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai drastik mahupun ekstrem.