Sebuah pesawat ringan membuat pendaratan cemas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, mengakibatkan lalulintas menjadi sesak, petang ini.

Pesawat berwarna kuning itu tersasar dari landasan semasa mendarat di pangkalan tersebut selepas dipukul angin kencang.

kejadian kira-kira jam 3.26 petang itu mengakibatkan pesawat dua tempat duduk seberat 500kg tersebut, terpaksa mendarat di lebuhraya yang sibuk di sebelah pengkalan berkenaan.

Jabatan Pertahanan Awam dan pasukan penyelamat Tentera Udara Diraja Malaysia kemudiannya membawa pesawat itu keluar dari kawasan lebuhraya dengan bantuan polis.

Jurucakap Kelab Penerbangan Diraja Selangor memberitahu Bernama, pesawat itu melanggar tiang lampu jalan sebelum mendarat di atas jalanraya dengan selamat.

Tiada kecederaan

Menurutnya, juruterbang serta pembantu juruterbang pesawat itu tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

Beliau yang menyaksikan kejadian itu berkata sebuah kren digunakan bagi mengangkat pesawat yang dipercayai milik persendirian itu, untuk dibawa ke pengkalan.

Jurucakap itu berkata pesawat tersebut bukan milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor, mahupun Tentera Udara Diraja Malaysia.

Keadaan lalulintas di lebuhraya kembali seperti biasa pada jam 4.30 petang selepas laluan yang ditutup sementara akibat insiden itu, dibuka semula untuk kenderaan.

Difahamkan Jabatan Penerbangan Awam akan menjalankan siasatan berhubung insiden itu.